PKP Fasa 2: “Dahulu lembut dan nasihat, kemudian bertukar tegas, kini mod polis adalah keras” – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

3761

Pihak polis kini dalam mod ‘keras’ dan akan bertindak dengan lebih tegas dalam melaksanakan pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hal ini dilakukan bertujuan untuk memastikan rakyat mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP.



“Kalau dahulu lembut dan nasihat, kemudian bertukar tegas, kini mod polis adalah keras. Tindakan akan terus diambil kepada sesiapa sahaja yang melanggar perintah ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, sebentar tadi.

Ismail Sabri berkata, sepanjang tempoh PKP, seramai 4,189 individu ditahan atas pelbagai kesalahan terutama mengingkari dan melanggar arahan PKP.

“1,449 daripadanya sudah dituduh di mahkamah dan ada antaranya dijatuhkan hukuman bukan setakat denda, malah hukuman penjara.

“Ada kes yang dipenjara kepada mereka selama lapan bulan kerana bukan sahaja atas kesalahan ingkar PKP dan dituruti mengganggu pihak berkuasa menjalankan tugas,” katanya.

Menurutnya, Polis melakukan 687 sekatan jalan raya dan pemeriksaan 380,342 kenderaan, selain 3,791 premis diperiksa dan 23,256 pemeriksaan mengejut dilaksanakan.

“Walaupun ada penurunan, tetapi pihak polis masih meneruskan tindakan seperti biasa, dan tindakan mereka ditahap keras,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here