#InfoAuto: Apa maksud ABS, ini perkara wajib yang anda perlu tahu

18454

Perkembangan teknologi automotif bukan sahaja membuatkan kereta lebih cantik dan laju, malah lebih selamat.

Memandu Toyota Corolla terkini pada kelajuan 150km/j sebagai contoh adalah sama selamat dengan memandu Toyota Corolla 1970-an pada kelajuan 100km/j. Semua ini adalah disebabkan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif pada Corolla terkini.



Dalam sini #InfoAuto ini, kita akan mulakan dengan ciri keselamatan aktif yang paling asas, iaitu ABS.

Apa itu ABS?

Abang Brek Sendiri? Terer abang ye?

Maksud ABS ialah Anti-lock Braking System, atau sistem brek anti-kunci.

Fungsi dan kegunaan

Seperti pada namanya, ABS berfungsi dengan mengelakkan roda dari terkunci ketika membrek. Ini dicapai dengan pengesan yang sentiasa memantau kadar pusingan roda.

Dalam situasi membrek yang kuat dimana roda hampir terkunci, pengesan akan memberi isyarat kepada pam brek hidraulik untuk mengepam dan memastikan roda tidak terkunci, tetapi membenarkan kuasa brek maksimum disalurkan.

Sistem ini mengempam brek (tekan, lepas, tekan, lepas) beratus kali sesaat dan mustahil untuk pemandu biasa bahkan pemandu F1 untuk melakukannya.

Hasilnya? Pemandu akan sentiasa dapat mengawal stereng dan mengubah kenderaan jika perlu, dalam apa jua situasi membrek.

Lihat video ini dari minit 2:20 untuk lihat perbandingan brek dengan ABS dan tanpa ABS dalam pelbagai situasi.

Jadi matlamat utama ABS ialah untuk memastikan anda sentiasa berada dalam kawalan, mampu mengawal stereng dan arah kenderaan tidak kira apa jua situasi membrek, sama ada di jalan kering atau basah.

ABS bukan untuk menambah kuasa brek atau memendekkan jarak berhenti ya? Itu bergantung kepada keadaan tayar kenderaan anda.

Semua kereta ada ABS?

ABS telah mula diwajibkan di kenderaan-kenderaan di Eropah dan Amerika Syarikat sejak 1980-an dimana Mercedes-Benz telah melengkapkan S-Class W116 dengan sistem ini.

Video di bawah menunjukkan sistem ABS awal yang diuji pada Mercedes S-Class itu.

ABS mula diwajibkan di Malaysia beberapa tahun lepas bersama ESC (Electronic Stability Control) dan ini bermakna, semua kenderaan baharu yang dijual di Malaysia telahpun dilengkapi dengan ABS.

Kereta paling mampu milik seperti Perodua Axia dan Proton Saga pun kini dilengkapi ABS.

Jika lebih 5-10 tahun dulu, ABS boleh dikatakan satu ciri keselamatan pilihan, dimana hanya model di varian tertinggi yang dilengkapi dengannya.

Untuk motosikal, buat masa ini hanya motosikal premium sahaja yang dilengkapi ABS sebagai standard. Namun sejak akhir ini banyak pihak sedang mencadangkan agar ABS diwajibkan pada semua jenis motosikal.

Satu cara mudah untuk mengetahui jika kenderaan anda dilengkapi ABS ialah anda akan lihat lampu simbol ABS akan menyala di papan pemuka apabila anda menyalakan kenderaan sebelum menghidupkannya.

Bagaimana mengesan kerosakan

Terdapat beberapa cara mengesan masalah pada sistem ABS kenderaan anda, antaranya:

  • Pedal brek tidak responsif
  • Pedal brek perlu ditekan lebih
  • Lampu ABS menyala
  • Roda terkunci semasa membrek

Jika salah satu ini berlaku, anda hendaklah bawa kenderaan anda untuk pemeriksaan secepat mungkin dan pandu secara berhati-hati.

Dalam artikel #InfoAuto akan datang, kita akan pergi pula kepada ciri lain seperti ESC, Traction Control, beg udara SRS, dna teknologi-teknologi lain. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here