Covid-19: Tiga mukim di Selangor kini zon hijau, Klang bebas zon merah

1449

Tiga mukim bawah daerah Kuala Selangor mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 hari ini, sekali gus bertukar dari zon kuning ke hijau.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, mukim tersebut ialah Batang Berjuntai, Ijok dan Jeram.



“Pasir Panjang, Tanjong Karang yang zon hijau bertukar kuning, namun Batang Berjuntai, Ijok, Jeram pula bertambah baik dari zon kuning ke hijau. Positif!” tulis pasukan itu di Twitter.

Mengikut data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis negeri, Hulu Langat kekal satu-satunya mukim zon merah, yang merekodkan 171 kes dengan 54 daripadanya aktif.

Mukim Kajang pula kedua tertinggi dengan 159 kes diikuti Klang (124), Sungai Buloh (119), Damansara (113), Petaling (95) dan Ampang (74).

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang mengucapkan tahniah atas kejayaan penduduk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan hingga daerah tersebut berjaya keluar dari zon merah.

“Walaupun situasi bertambah baik, semua penduduk diminta terus mematuhi arahan kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19,” tulis pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

Berdasarkan data setakat jam 12 tengah hari tadi, daerah Klang mencatatkan 29 kes aktif berbanding 44 pada Isnin.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here