Nissan Navara-R ini ialah sebuah trak pikap dengan enjin GT-R

4192

Projek Nissan GT-R gila bukanlah sesuatu yang baru. Terdapat Nissan Qashqai R SVM beberapa tahun lepas, Juke-R (dan Juke-R 2.0) iaitu crossover dengan enjin GT-R, serta jentera drift Nissan dengan 1,400hp yang mencatat rekod pada 2016.

Tapi kali ini sedikit berbeza. Ianya trak pikap Navara yang disumbat enjin GT-R. Amacam?



Projek ini ialah idea dari Steve ‘Baggsy’ Biagoni, pengasas SB Motorsport dari Essex dan juga lelaki Inggeris pertama menyertai kejuaraan D1 Jepun.

Asalnya dia mempunyai lebihan enjin V6 V638DETT GT-R, enjin ini asalnya untuk projek kereta drift, tetapi barang untuk menjadikannya 1,000hp tidak sampai pada masanya.

Kereta itu dimasukkan enjin V8 twin-turbo dan ia menyertai pertandingan drift, tetapi bukan dengan enjin yang dimahukan pada asalnya.

Jadi apa hendak dibuat dengan enjin V6 GT-R itu tadi? SB Motorsport pula mempunyai sebuah Nissan Navara untuk kegunaan kerja, dan sepasukan pekerja teknikal sukan permotoran. Jadi untuk tidak membazirkan apa yang ada, enjin Navara itu pun mula dikeluarkan.

Dan seperti dijangka, musim lockdown telah membantu mempercepatkan kerja projek Navara-R ini. Matlamatnya menurut Biagioni ialah untuk memastikan trak pikap itu road legal (sah dipandu di jalan raya).

Jadi bahagian kabin sebolehnya tidak akan disentuh, hanya bahagian bawah dan enjin yang akan melalui kerja-kerja “menyalin” yang drastik.

Enjin itu dijangka akan ditala sehingga 1,000hp apabila semua komponen sampai nanti, dengan suspensi KW untuk sistem gantungan. Itu sahaja maklumat yang didapati buat masa ini.

Jika anda ingin melihat sendiri perkembangan projek ini, bolehlah ke saluran Youtube Steve di sini. Kami pun tak sabar menunggu Navara-R ini siap. Dan kami pasti akan kongsikan kepada anda apabila ia siap nanti!

Mungkin pasukan Steve boleh belanja video pecutan 0-100km/j dengan Launch Control.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here