BMW X5 xDrive45e M Sport model PHEV CKD terkini dengan 394hp dan 600Nm tork

1864

BMW Malaysia telah memperkenalkan model baru dalam generasi BMW X, iaitu BMW X5 xDrive45e M Sport. Model ini merupakan model PHEV terkini yang dipasang secara domestik (CKD).

Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, BMW X5 merupakan jentera Sports Activity Vehicle (SAV) premium paling efisien dan berkuasa pernah ditawarkan oleh BMW.



SAV baharu ini dilengkapi dengan lampu depan Adaptive LED dengan BMW Selective Beam, serta lampu kabus LED di hadapan yang melengkapi komponen gril ‘kidney’ yang besar.

Dengan pakej M Sport, BMW X5 xDrive45e terbaharu menampilkan set roda aloi ringan ‘M’ bersaiz 20-inci dalam penggayaan Star Spoke 740 M Dwi-warna, berserta dengan brek M Sport.

Enjin

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 6-silinder berkapasiti 3-liter yang lengkap dengan teknologi BMW eDrive, dimana ia mampu menghasilkan sehingga 394hp dan 600Nm tork dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 235km/j.

Enjin ini juga dilengkapi oleh transmisi 8-kelajuan automatik yang dinaik-taraf yang menyalurkan kuasa ke semua roda menggunakan sistem xDrive.

X5 ini juga turut mendapat suspensi udara di depan dan belakang.

Menerusi mod elektrik sepenuhnya (EV), X5 xDrive45e mempunyai jarak pemanduan sehingga 77km setelah dicaj penuh, dan mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 135km/j.

Di samping itu, penggunaan bahan api ditawarkan pada tahap 2.5L/100km serta tahap pelepasan karbon 56g/km.

Ruangan dalam

Untuk ruangan kabin, kokpit jentera ini seperti model BMW lain, dilengkapi dengan balutan kulit Vernasca dan unik untuk X5 ini; kemasan Sensatec seperti kayu berkilat.

Ia turut mendapat stereng berkulit ‘M’ dengan pelarasan elektrik, tempat duduk sports dengan fungsi memori untuk pemandu, dan penghawa dingin 4-zon.

Sistem hiburan pula ditawarkan dengan sistem audio Harman Kardon 464W dan 16 pembesar suara.

Untuk kapasiti but, terdapat 500 liter ruang tetapi boleh ditingkatkan menjadi 1,720 liter bila tempat duduk baris kedua dilipat dengan kawalan elektrik. Fungsi lain adalah pintu but berkuasa. 

Sistem keterhubungan BMW

Ciri-ciri kefungsian utama BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu merangkumi BMW Live Cockpit Professional dengan Kawalan Gestur serta Pembantu Peribadi Pintar. Fungsi pengecasan tanpa wayar turut ditawarkan sebagai kemudahan tambahan ketika memandu.

Bantuan pemanduan tahap baharu telah disediakan iaitu BMW Personal CoPilot, yang merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan dan Amaran Penukaran Laluan. Sistem tersebut juga menampilkan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Perentasan Trafik di Belakang, Pencegahan Perlanggaran Belakang serta info had kelajuan.

Di samping itu, BMW X5 xDrive45e M Sport turut dilengkapi dengan Parking Assistant Plus dengan Kamera Pandangan Keliling, berserta dengan Bantuan Mengundur.

BMW ConnectedDrive dalam BMW X5 xDrive45e M Sport pula hadir dengan Panggilan Kecemasan Pintar, Teleservices dan servis eDrive.

SAV terbaharu ini juga dilengkapi dengan Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) yang memaparkan status kenderaan seperti jarak capaian dan maklumat utama yang lain, selain menawarkan akses yang mudah ke atas sistem penyaman udara sebelum memasuki kenderaan berkenaan, maka pemandu boleh mempersiapkan kenderaan ini sebelum memulakan perjalanan.

Kunci Digital BMW pula disediakan untuk akses tanpa kunci melalui telefon pintar Android terpilih yang bercirikan NFC.

Comfort Access 2.0 membolehkan pemilik mengakses kenderaan ini tanpa perlu menyentuh, maka hendal pintu tidak perlu dipegang atau disentuh untuk mengunci atau menyahkunci kenderaan berkenaan.

Sensor di kedua-dua sisi kenderaan ini akan mengesan kunci kenderaan berkenaan lalu menyahkunci jentera tersebut setelah pemilik menghampiri kenderaan ini dalam lingkungan jarak satu meter. Ia juga akan dikunci secara automatik setelah pemegang kunci bergerak sejauh dua meter dari kenderaan berkenaan.

Pilihan warna

Tawaran warna bagi jentera BMW X5 xDrive45e M Sport merangkumi Phytonic Blue, Black Sapphire, Mineral White dan Artic Grey.

Sebagai opsyen tambahan, anda boleh pilih X5 ini dengan kemasan M Performance untuk memberikan gaya lebih sporti dan aerodinamik. 

BMW X5 xDrive45e M Sport terbaharu berharga RM440,745.00, dan kini boleh didapati di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai Sabtu, 20 Jun 2020.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here