Utama Berita Automotif BMW X5 2027 diperkenal, rangkaian kuasa sapu bersih – Hibrid, EV dan...

BMW X5 2027 diperkenal, rangkaian kuasa sapu bersih – Hibrid, EV dan hidrogen!

7

BMW memperkenalkan BMW X5 serba baharu yang memasuki generasi kelima dengan pembaharuan menyeluruh dari segi reka bentuk, teknologi dan pilihan rangkaian kuasa.

Buat pertama kali dalam sejarah, BMW menawarkan lima jenis sistem pacuan dalam satu barisan model, sekali gus menjadikan X5 antara SUV premium paling komprehensif di pasaran.

Model baharu ini turut menjadi antara model pertama yang menggabungkan bahasa reka bentuk serta teknologi daripada platform Neue Klasse.

Antara teknologi yang diperkenalkan termasuk sistem maklumat hibur generasi baharu BMW Panoramic iDrive, BMW Operating System X dan teknologi eDrive generasi keenam.

Pelancaran pasaran bagi varian pertama dijadualkan bermula akhir November 2026, manakala model elektrik penuh dan hibrid plug-in (PHEV) akan menyusul pada awal 2027.

Lima pilihan rangkaian kuasa untuk semua keperluan

BMW iX5 Hydrogen

BMW X5 generasi baharu menjadi model pertama BMW yang ditawarkan dengan lima pilihan rangkaian kuasa berbeza.

Barisan model terdiri daripada enjin petrol dengan teknologi 48V hibrid ringan, enjin diesel dengan teknologi 48V hibrid ringan, PHEV, elektrik (BEV) dan menariknya sel bahan api hidrogen.

Walaupun sarat dengan elektrifikasi, pembeli masih ditawarkan varian ICE dengan bantuan elektrik paling minimum iaitu 3.0L petrol enam silinder sebaris TwinPower Turbo 48V hibrid ringan.

Model ini menghasilkan kuasa sehingga 400 hp, tork 580 Nm serta pecutan 0–100 km/j dalam 5.3 saat.

BMW iX5, iaitu X5 elektrik pertama, serta BMW iX5 Hydrogen, model hidrogen produksi pertama BMW akan diperkenalkan kemudian.

Model itu menggunakan sistem sel bahan api generasi ketiga bersama teknologi baharu BMW Hydrogen Flat Storage dan bateri voltan tinggi, dengan jarak pemanduan sehingga 750 km.

BMW iX5 guna eDrive generasi keenam

BMW iX5 60

Varian elektrik penuh BMW iX5 60 xDrive dibangunkan menggunakan teknologi BMW eDrive generasi keenam.

Antara pembaharuan utama ialah:

  • Seni bina elektrik 800V
  • Sel bateri silinder baharu setinggi 120 mm
  • Pengecasan DC sehingga 460 kW
  • Sokongan pengecasan dua hala (bidirectional charging)
  • Jarak pemanduan WLTP sehingga 845 km

Menggunakan pengecas pantas DC, bateri boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 23 minit, manakala pengecasan selama 10 minit mampu menambah kira-kira 350 km jarak pemanduan.

Rekaan baharu lebih moden dan berkarakter

BMW X5 M60e xDrive

BMW X5 generasi kelima tampil dengan imej lebih moden menerusi gabungan perkadaran klasik Sports Activity Vehicle (SAV) bersama identiti reka bentuk Neue Klasse.

Bahagian hadapan menampilkan gril BMW Kidney Iconic Glow yang lebih tegak, grafik lampu baharu Double X, serta rekaan hadapan yang lebih monolitik dan kemas.

Di sisi pula, BMW memperkenalkan BMW Winglets, iaitu pemegang pintu baharu yang disepadukan ke dalam badan kenderaan dan mengendalikan pintu berkuasa elektrik hanya dengan sentuhan ringan.

Pembeli  boleh memilih daripada 11 pilihan warna badan, rim sehingga 23 inci, pakej M Sport, M Sport Pro, serta varian prestasi BMW X5 M60e xDrive.

BMW turut menawarkan pelbagai aksesori M Performance Parts termasuk pemisah karbon, spoiler bumbung, difuser belakang, penutup cermin sisi dan rim prestasi bersaiz 21 atau 23 inci.

Kabin lebih premium dengan teknologi Neue Klasse

BMW iX5 60 2027
BMW iX5 60 2027

Bahagian dalaman menerima rombakan besar dengan konsep lebih minimalis, luas dan premium.

BMW turut menjadi pengeluar pertama dunia menawarkan kemasan dalaman menggunakan batu syal (slate) sebenar sebagai pilihan.

Teknologi baharu yang diperkenalkan termasuk BMW Panoramic Vision, BMW Panoramic iDrive dan BMW Operating System X.

Turut diperkenalkan ialah paparan tengah baharu berbentuk bebas (free cut display), BMW 3D Head Up Display dan BMW Passenger Screen yang ditawarkan buat pertama kali pada X5.

Melengkapkan senarai tersebut ialah stereng pelbagai fungsi generasi baharu.

Turut melengkapkan suasana kabin ialah sistem lampu suasana dari pintu ke pintu menerusi animasi pencahayaan baharu.

Dinamik pemanduan dipertingkat

BMW iX5 60 2027

BMW mengekalkan identiti X5 sebagai antara SUV paling menyeronokkan untuk dipandu dalam segmennya.

Semua model kini didatangkan dengan suspensi adaptif sebagai standard serta agihan berat hampir 50:50.

Pelanggan turut boleh memilih Adaptive Chassis Control serta Adaptive Chassis Control Professional dengan sistem penstabil olengan untuk semua model elektrik dan hibrid plug-in.

BMW turut memperkenalkan teknologi BMW Symbiotic Drive, yang menyesuaikan bantuan pemanduan mengikut gaya pemanduan pengguna.

BMW X5 M60e xDrive 2027
BMW X5 M60e xDrive 2027

Sistem bantuan pemandu Tahap 2 dipertingkat bagi menghasilkan interaksi lebih lancar antara pemandu dan sistem bantuan.

Bagi model BMW iX5 serta BMW iX5 Hydrogen, sistem Heart of Joy membolehkan fungsi BMW Soft Stop, iaitu teknologi yang menghasilkan proses membrek sehingga berhenti dengan lebih lancar.

Pengeluaran bermula Ogos 2026

BMW X5 generasi baharu akan dihasilkan di BMW Group Plant Spartanburg, Amerika Syarikat, iaitu kilang yang telah menghasilkan X5 sejak model pertama diperkenalkan pada 1999.

BMW iX5 turut mencipta sejarah sebagai model elektrik pertama yang dipasang di kilang tersebut, dengan kilang bateri voltan tinggi generasi keenam yang dibina bersebelahan beroperasi tanpa penggunaan bahan api fosil dalam operasi biasa.

Spesifikasi Ringkas BMW iX5 dan X5 2027

BMW iX5 60 xDrive (EV)

BMW iX5 60

Rangkaian Kuasa

  • Dua motor elektrik BMW eDrive generasi keenam
  • Pacuan semua roda xDrive
  • Transmisi satu kelajuan

Prestasi

  • Kuasa: 578 hp
  • Tork: 805Nm
  • 0 hingga 100 km/j: 4.6 saat
  • Kelajuan maksimum: 210 km/j (dihadkan secara elektronik)

Bateri & Pengecasan

  • Bateri litium-ion 141 kWj (bersih)
  • AC sehingga 22 kW
  • DC sehingga 460 kW
  • 10 hingga 80 peratus: 23 minit

Jarak Pemanduan

  • WLTP: 645 hingga 845 km

BMW X5 40 xDrive (hibrid ringan)

BMW X5 40 xDrive
BMW X5 40 xDrive

Rangkaian Kuasa

  • Enjin petrol 3.0L enam silinder sebaris TwinPower Turbo 48V hibrid ringan
  • Transmisi Steptronic 8 kelajuan

Prestasi

  • Kuasa sistem: 400 hp
  • Tork sistem: 580Nm
  • 0 hingga 100 km/j: 5.3 saat
  • Kelajuan maksimum: 250 km/j (dihadkan secara elektronik)

BMW X5 40d xDrive (hibrid ringan)

Rangkaian Kuasa

  • Enjin diesel 3.0L enam silinder sebaris TwinPower Turbo 48V hibrid ringan
  • Transmisi Steptronic 8 kelajuan

Prestasi

  • Kuasa sistem: 313 hp
  • Tork sistem: 670Nm
  • 0 hingga 100 km/j: 6.1 saat
  • Kelajuan maksimum: 230 km/j (dihadkan secara elektronik)

BMW X5 50e xDrive (PHEV)

Rangkaian Kuasa

  • Enjin 3.0L enam silinder TwinPower Turbo PHEV
  • Transmisi Steptronic 8 kelajuan

Prestasi

  • Kuasa sistem: 489 hp
  • Tork: 700Nm
  • 0 hingga 100 km/j: 5.0 saat
  • Kelajuan maksimum: 250 km/j (dihadkan secara elektronik) / Mod elektrik: 140 km/j (dihadkan secara elektronik)

Bateri

  • 29.48 kWj (kasar)
  • 26.5 kWj (bersih)

Jarak elektrik

  • 86 hingga 102 km (WLTP)

BMW X5 M60e xDrive (PHEV)

BMW X5 M60e xDrive
BMW X5 M60e xDrive 2027

Rangkaian Kuasa

  • Enjin 3.0L enam silinder TwinPower Turbo PHEV berprestasi tinggi
  • Transmisi Steptronic 8 kelajuan

Prestasi

  • Kuasa sistem: 612 hp
  • Tork: 800Nm
  • 0 hingga 100 km/j: 4.5 saat
  • Kelajuan maksimum: 250 km/j (dihadkan secara elektronik) / Mod elektrik: 140 km/j (dihadkan secara elektronik)

Bateri

  • 29.48 kWj (kasar)
  • 26.5 kWj (bersih)

Jarak elektrik

  • 81 hingga 98 km (WLTP)

BMW iX5 60 2027

BMW X5 M60e xDrive 2027

BMW X5 40 xDrive 2027

BMW iX5 Hydrogen 2027

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here