7 sebab kenapa Mercedes A250 Sedan ini sesuai jadi Mercedes pertama anda! [+video]

6607

Sejak bertahun-tahun lamanya malah berdekad, Mercedes pertama yang biasa orang beli ialah C-Class, ia merupakan platform sedan paling kecil dari jenama itu dengan pacuan roda-belakang.

Tetapi kini, Mercedes-Benz mempunyai barisan kereta kompak yang kami rasa sesuai menjadi Mercedes pertama anda, iaitu A-Class Sedan.



Model ini berdasarkan A-Class generasi terkini W177 yang merupakan pengganti kepada W176. Model sebelumnya dikatakan seperti agak ‘kosong’ dan kurang premium, mungkin sesuai untuk golongan yang jauh lebih muda, seperti mereka yang mencari pengganti kepada Subaru Impreza atau Volkswagen Golf.

Tetapi A-Class W177 kini lebih premium, lebih canggih dan sofistikated. Mari kita lihatkan 7 sebab terperinci kenapa ia sesuai jadi Mercedes pertama anda.

1. Harga agak bagus

Pada RM267,888, ia dikira agak baik dengan pakej yang ditawarkan. Ya, benar, Mercedes C-Class boleh didapati pada RM259,888 iaitu RM8,000 lebih rendah, tetapi itu “hanyalah” C200 dengan enjin 1.5-liter dan 184hp.

Tetapi dengan A250 Sedan ini, anda mendapat enjin 2.0-liter turbo dengan 224hp dan 350Nm tork. Enjin ini juga enjin Mercedes sebenar, tidak seperti varian asas A200 yang mendapat enjin 1.33-liter dari Renault (tapi enjin ini pun mantap sebenarnya).

2. Saiz cukup-cukup

Sebagai Mercedes pertama, anda pasti tak mahu S-Class, bukan? Jadi A-Class sedan ini mempunyai saiz yang cukup-cukup. Tidak terlalu kecil, cukup untuk 5 orang, dan tidak terlalu besar seperti anda memerlukan pemandu peribadi.

3. Tak rasa ‘kosong’ sangat

A-Class Sedan (dan generasi A-Class baharu W177 amnya) kini lebih mewah dan sofistikated berbanding generasi W176 sebelum ini. Untuk generasi sebelum ini, ramai yang mengatakan A-Class (dan CLA serta GLA) itu agak kosong, sempit, dan ibarat tampal logo Mercedes sahaja.

A250 Sedan ini juga datang dengan pakej AMG Line, jadi ia mendapat kit badan lebih agresif (A200 nampak agak manja), rim AMG, brek cakera AMG dan angkup brek AMG. Sporti, tetapi tidaklah keterlaluan.

Tidak dengan ini, A-Class Sedan kini lebih rapat jurangnya dengan C-Class. Sebagai contoh, panel dalam pintu pun nampak sangat mewah dengan balutan kulit lembut. Jika gambar panel ini dikatakan C-Class pun orang mudah percaya!

4. Cukup praktikal

Kereta Mercedes pertama tak bermakna tak perlu praktikal, bukan? A-Class Sedan ini kerana saiznya cukup baik, ia agak praktikal.

Terdapat banyak ruang simpanan, pemegang cawan, dan kapasiti kargonya juga cukup besar, 420 liter iaitu 50 liter lebih dari versi hatchback.

5. Ruang dalam yang premium

Agak berkaitan sedikit dengan poin nombor 3 tadi, kali ini ruang dalamnya yang premium. Lebih jelas lagi, A250 Sedan ini memang nampak cukup mewah dalamannya dengan balutan kulit Nappa pada roda stereng, serta kulit Artico dan Dinamica pada tempat duduknya. Memang lembut!

Bahagian-bahagian permukaan lain juga lembut dipegang, penggunaan plastik keras sangat minima. Dan segala tombol, suis kebanyakannya diperbuat dari bahan seperti aluminium yang terasa sejuk bila pendingin hawa dipasang. Tengok saja corong penghawa dingin tu, nampak halus buatannya.

Tambah lagi, bila malam, fuhh kabinnya mendapat lampu ambient lighting dengan pelbagai tema dan kombinasi menawan.

6. Teknologi canggih dan terkini

Sebagai sebuah Mercedes iaitu jenama premium antara terbaik di dunia, kenderaan-kenderaanya mendapat teknologi terkini.

Dan A250 Sedan ini tidak ketinggalan. Ia tetap mendapat Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang terdapat pada model-model sedan lebih besar seperti C-Class dan E-Class.

Terdapat juga Mercedes me connect dengan fungsi arahan suara. Tegur sahaja “Hey Mercedes”, nanti dia sedia jalankan beberapa fungsi. Mungkin tidak praktikal sepenuhnya, tapi ciri ini agak cool.

Semua sistem ini boleh diakses melalui sekeping papan pemuka lebar yang mempunyai dua skrin bersaiz 10.25-inci setiap satu. Sekilas pandang memang canggih! Penulis tidaklah begitu gemar tahap digitalisasi sebegini, kerana penulis lebih suka jika terdapat beberapa elemen analog seperti meter tachometer.

Tetapi penulis faham sasaran pembeli A-Class ini, dan jika anda jenis sukakan gajet dan mengikuti perkembangan dunia teknologi, anda pasti sukakan ciri ini.

7. Pemanduan mantap

Akhir sekali, pemanduan A250 Sedan ini cukup bagus. Penyebab utama: suspensi belakang multi-link. A200 hatchback dan A200 Sedan didatangkan dengan suspensi belakang torsion beam.

Perbezaan jenis suspensi ini memberikan karakter pemanduan yang agak berbeza antara A200 dan A250. Sebenarnya A200 itu jika dipandu di jalanraya yang cantik seperti di Eropah, ia okey sahaja, cuma di sini tidak berapa sedap jika melalui bonggol atau jalan beralun. Salah jalanraya ya, bukan salah kereta!

A250 Sedan ini jauh lebih sempurna untuk aspek ini. Di jalan tidak rata, ia menyerap segalanya dengan baik tetapi apabila mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, suspensinya seolah “mengeras” dan memegang badan kereta dengan cukup baik.

Dari segi kuasa, 224hp dan 350Nm lebih dari memadai untuk pemanduan seharian. Dan jika anda mahukan lebih, tukar sahaja mod pemanduan Sport, perbezaan yang diberikan cukup ketara. Kereta menjadi lebih tangkas dan lincah, cukup untuk “hiburkan” anda dalam perjalanan balik dari kerja.

Ada kekurangan?

Jika ingin disebut kekurangannya, mungkin A250 Sedan ini boleh dilengkapi dengan tambahan ciri keselamatan aktif seperti Blind Spot Monitoring dan Autonomous Emergency Braking.

Dan lagi satu, semasa sistem Auto Start/Stop diaktifkan, cara enjinnya hidup semula semasa kita hendak mula bergerak itu kadang-kadang terasa agak kasar.

Lain-lain dari itu, penulis rasakan Mercedes A250 ini menawarkan nilai cukup baik, dan sangat sesuai menjadi Mercedes pertama anda.

Spesifikasi Mercedes A250 Sedan AMG Line

Harga: RM267,888
Enjin: 1,991cc, 4-silinder turbo, suntikan terus bahan api
Kuasa maksima: 224 hp @ 5,500 rpm
Tork maksima: 350 Nm @ 1,800 rpm
Transmisi: 7G-TRONIC dwi-klac 7-kelajuan
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Berat: 1,465 kg
Sistem keselamatan: 7 beg udara, ABS, EBD, seat-belt reminder, Front Collision Warning, ISOFIX

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here