Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line – Sedan premium kompak serba boleh?

4671

Walaupun SUV mendominasi pasaran kenderaan penumpang hari ini, Mercedes-Benz tidak boleh meninggalkan model teras mereka iaitu sedan C-Class, E-Class dan S-Class. Model-model yang mereka panggil Limousine inilah yang memberi definisi Mercedes. Kali ini Motoqar berkesempatan untuk pandu uji Mercedes C 300 AMG Line.

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line
Pandu uji Mercedes C 300 AMG Line

Secara umum, sedan Mercedes seperti C-Class dikatakan antara paling selesa dan mempunyai bahan paling premium dalam kelasnya, sementara BMW dan Audi menawarkan kelebihan dari sudut lain.



Perkara ini diteruskan lagi dalam C-Class terbaharu. Varian C 300 ini diberikan facelift pada Oktober 2018 bersama dengan model asas C 200 dan AMG C 43.

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line

Dengan facelift ini, boleh dikatakan Mercedes mengekalkan apa yang terbaik pada C-Class dan pada masa yang sama menambahbaik aspek-aspek lain.

Luaran

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line

Penampilan C 300 kali ini diperkemaskan dengan kit badan AMG Line. Ia mendapat gril dengan kemasan diamond pin seperti pada A-Class yang sangat cantik, lampu depan Multibeam LED, rim AMG 19-inci yang sporti, dan lampu belakang LED dengan light guide baharu berbentuk C.

Paling penulis suka adalah corong air curtain di bucu bampar depan dan kemasan panel hitam di ruang ekzos dan bampar belakang. Terdapat diffuser dan seperti air outlets di tepi bampar belakang yang diragui keberkesanannya, namun penulis tidak peduli.

Dalaman

Walaupun luaran C 300 kini lebih sporti, harus diakui ruang dalamannya antara perkara terbaik mengenai kereta ini. Bahan yang digunakan pada tempat duduk, roda stereng dan papan pemuka semuanya dari bahan premium dan berkualiti.

Tempat duduk kulit berwarna merah ini tidak nampak terlalu menyerlah, dan cukup-cukup sahaja tonanya untuk menaikkan seri kabin yang berwarna kelabu. Penulis rasakan bahan kulit ini perlukan penjagaan rapi, namun ia seperti akan tahan lama dan kekal empuk.

Malah butang-butang dan segala tombol kawalan juga terasa konsisten di semua kawasan. Ia “berat” dan sedap digunakan. Ambil contoh tuil pembuka pintu. Ia seperti dari logam tahan karat, sejuk apabila terkena udara penghawa dingin, dan terasa enak digunakan untuk tarik dan buka pintu. Boleh ke guna perkataan enak?

Dari segi ergonomik kedudukan pemandu, sebenarnya C-Class menawarkan tempat duduk yang agak rendah walaupun ia sebuah sedan. Tetapi tidaklah seperti kereta lumba, hanya sedikit rendah dan selesa.

Kawalan untuk semua menu dalam sistem infotainmen adalah menyeluruh tetapi agak mesra pengguna. Tidak susah untuk dipelajari walaupun anda pertama kali menggunakannya.

Juga baharu pada C 300 kali ini ialah paparan instrumen digital sepenuhnya yang menggantikan unit analog pada model sebelum facelift. Paparannya juga jelas, berdefinisi tinggi dan mempunyai pelbagai maklumat ringkas pemanduan untuk dipapar.

Ruang tempat duduk belakang juga selesa dan cukup luas. Tiada masalah pada ruang kaki dan kepala. Mungkin bahagian tempat duduk tengah sahaja yang “menderita” sedikit dengan bonggol di lantai. Maklumlah kereta pacuan roda belakang.

Jika hendak dicari kelemahan, satu sahaja penulis ingin ketengahkan. Kedudukan tempat duduk pemandu jika dilaras pada posisi pemanduan optima, siku kiri akan senang tersangkut dengan penyandar tempat duduk semasa anda pusing roda stereng ke kiri.

Jika roda stereng pada kedudukan lurus pun, dengan tangan kiri dan kanan pada jam 9 dan 3, boleh rasa bahawa badan, tangan dan kaki tidak sejajar. Sebenarnya inilah isu apabila kereta itu ditukar dari pemanduan stereng kiri ke kanan.

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line

Penulis percaya jurutera telah cuba sedaya upaya untuk mencapai ergonomik terbaik dari apa yang mereka ada.

Enjin dan prestasi

Berbanding varian C 200 Avantgarde yang menerima rombakan dari sistem janaan dengan penggunaan enjin 1.5-liter baharu dan sistem elektrik EQ Boost, C 300 AMG Line ini kekal dengan janaan kuasa 2.0-liter.

Namun enjin M264 twin-scroll turbo empat-silinder ini diberi tambahan kuasa sebanyak 14hp, menjadikan jumlah output pada 255hp sekarang. Kuasa ini dicapai pada 5,800-6,100 rpm, agak tinggi untuk enjin turbo. Nantikan ulasan sebentar lagi.

Tork tidak berubah, masih 370Nm, tetapi dialih dari 1,300 ke 1,800 rpm. Peralihan ini bersama dengan kuasa puncak di hujung julat rpm memberikan cara penghantaran kuasa lebih linear dan terus berkuasa hingga ke hujung.

Jika tidak diperah, enjin ini memecut secara bersahaja dan disebabkan ia mendapat kotak gear automatik 9-kelajuan, penukaran gear dibuat sangat awal. Ini juga memberikan rasa seolah-olah kereta agak ringan di samping memberi penjimatan bahan api.

Terdapat tombol seperti roda DYNAMIC Select yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan. Dengan Comfort, Sport, Sport+ atau Individual, mod-mod ini akan melaras tetapan penghawa dingin, respon enjin, transmisi dan stereng untuk memberikan pelbagai sensasi pemanduan mengikut keadaan.

Suspensi udara Airmatic

Suspensi udara AIRMATIC merupakan salah satu ciri baharu pada Mercedes C 300 AMG Line ini. Ia bukan sahaja melaras tetapan suspensi setiap masa untuk memberi keselesaan maksima, malah boleh “memegang” kereta dengan baik di kelajuan lebih tinggi.

Sistem AIRMATIC ini bekerja bersama fungsi DYNAMIC Select dan penulis rasakan ia cukup berkesan. Suspensi udara ini membolehkan C 300 beralun selesa di atas jalan raya atau bertenaga dan lincah apabila diperlukan. Ini meluaskan lagi aspek kepuasan pemanduan sebuah C-Class.

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line

Berbanding dengan AMG C 43 yang mendapat sistem pacuan semua roda 4Matic, C 300 ini masih lagi pacuan roda belakang sebenar dan tiada komplikasi AWD. Jadi ia masih terasa lebih “mentah”, dan pemandu lebih terhubung dengan kereta dalam keadaan-keadaan yang hampir kepada had fizikal pemanduannya.

Kata akhir

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line

Melalui pandu uji Mercedes ini, kami dapat lihat pembaharuan pada C-Class dan C 300 khususnya memberikan lebih ciri premium pada sedan ini. Penulis cukup sukakan kerusi kulit yang terasa mewah dan suportif serta bumbung panoramik yang besar dan boleh meningkatkan mood pemanduan.

Bayangkan anda balik dari makan malam dan meluncur di tengah kota dan ingin terasa lebih dekat dengan persekitaran tanpa perlu turun dari kereta.

Pandu uji: Mercedes C 300 AMG Line

Di sudut lain, penumpang kekal selesa di tempat duduk belakang dan pemandu. Dan kini lebih yakin mengemudi C 300 ini di laluan berselekoh mahupun di lebuhraya.

Semua pakej ini mendekatkan C 300 dengan model AMG C 43. Tetapi dengan tawaran harga yang masih di tahap C-Class “mampu milik”.

 

Spesifikasi Mercedes C 300 AMG Line

Harga: RM227,888.00

Enjin: M264 2.0-liter twin-scroll turbo

Kuasa maksima: 255 hp @ 5,800-6,100 rpm

Tork maksima: 370 Nm @ 1,800-4,000 rpm

Transmisi: Automatik 9G-Tronic 9-kelajuan

Sistem suspensi: Multi-link (depan dan belakang) dengan Airmatic

Berat: 1,480kg

Sistem keselamatan: 7 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, ISOFIX, Front Collision Warning, Active Brake Assist, Blind Spot Info System, Lane Keep Assist

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here