Apa itu FF, FR, MR, F4? Kenali susunan drivetrain

7228

“Bro, kereta ni mana boleh drift la, ni FF..”. Pernah dengar istilah ini? Kalau belum, artikel ringkas ini untuk anda. Kalau dah, jemput baca juga untuk kukuhkan pengetahuan.

Susunan rangkaian kuasa (drivetrain) kenderaan biasanya diterangkan secara ringkas dengan dua huruf atau abjad. Huruf pertama mewakili posisi enjin, manakala huruf kedua mewakili gandar yang menerima kuasa enjin.

Sebagai contoh, FR. F mewakili posisi enjin iaitu front, dan R mewakili gandar yang menerima kuasa enjin iaitu rear. Jadi kereta ini berenjin depan dan dipacu tayar belakang.



Mari kita lihatkan kategori-kategori lain yang biasa untuk susunan drivetrain, dan contoh kenderaan yang menggunakannya:

  1. FF

FF iaitu berenjin depan dan menggunakan pacuan roda depan ialah konfigurasi paling biasa untuk kenderaan penumpang biasa. Ini kerana ia biasanya digunakan untuk saiz enjin yang tidak terlalu besar.

Ia juga menjimatkan ruang kerana tiada terowong di tengah badan kereta untuk menghantar kuasa ke gandar belakang. Jadi, ruang kabin dapat dimaksimakan.

Dengan teknologi elektronik untuk mengawal kuasa dan cengkaman, kenderaan lebih besar seperti MPV dan SUV juga biasa menggunakan konfigurasi ini.

Proton Saga. Imej: Proton

Contoh: Perodua Myvi, Proton Saga, Toyota Vios, Honda CR-V 2WD

  1. FR

Seperti contoh sebelum ini, FR ialah konfigurasi enjin di depan dengan pacuan roda belakang. Konfigurasi ini juga dikatakan mampu memberi pemanduan paling sporti serta paling ideal untuk tujuan drifting. Ini kerana FR menawarkan agihan berat yang agak seimbang antara gandar depan dengan belakang.

Kerana ini jugalah kebanyakan kereta sports dan supercar menggunakan susunan ini.

Honda S2000. Imej: 4ever.eu

Contoh: Mazda MX-5, Honda S2000, Nissan Silvia, Toyota Supra, BMW M3, Mercedes-AMG C 63, Ford Mustang, Chevrolet Camaro, Chevrolet Corvette

  1. F4/FA

F4 atau FA bermaksud enjin di depan, tetapi pacuan empat roda (4WD) atau pacuan semua roda (all-wheel drive). Konfigurasi ini menawarkan lebih cengkaman berbanding FF atau FR. Tetapi ianya juga lebih berat dan biasanya menggunakan lebih bahan api.

Namun ada juga sistem all-wheel drive yang lebih bijak yang boleh menggunakan pacuan dua roda sahaja (depan atau belakang) dan hanya mengunci gandar untuk pacuan semua roda apabila diperlukan. Bergantung kepada jenis sistem, ia boleh dikawal sama ada secara manual atau automatik.

Audi RS4 Avant. Imej: Scotcars

Contoh: Mitsubishi Evo, Subaru Impreza, Nissan Skyline GT-R, Nissan GT-R R35, Audi RS4 Quattro, Audi RS6 Quattro, BMW X5, Mercedes GLE 4MATIC, Mercedes-AMG A 45, Volkswagen Golf R

  1. MR

MR ialah kenderaan berenjin tengah dan menggunakan pacuan roda belakang. Konfigurasi enjin tengah atau mid-engined ini sering dikelirukan dengan enjin di belakang.

Maksud secara teknikal enjin tengah ialah enjin itu terletak di antara posisi gandar depan dan belakang. Jadi walaupun anda intai panel belakang Ferrari dan nampak seperti enjinnya di belakang pemandu, namun enjinnya masih berada di hadapan gandar belakang. Nama lain untuk konfigurasi ini ialah rear-mid-engined.

Ruang enjin Ferrari 360. Imej: Ferraris-online

Konfigurasi ini memakan banyak ruang, namun mampu menawarkan keseimbangan pengendalian yang baik. Ini kerana tiada berat berlebihan di hujung depan atau belakang, sebaliknya kebanyakan berat terletak di tengah. Justeru, kereta mampu menukar arah dengan lebih baik dan meyakinkan.

Sebagai tambahan, sesebuah kereta itu juga mungkin mempunyai enjin di hadapan kokpit pemandu, namun masih berkonfigurasi MR sebenarnya. Sebagai contoh, Mercedes SLR dan Mercedes-AMG GT. Nama lain untuk konfigurasi ini ialah front-mid-engined.

McLaren F1 1993. Imej: Autoweek

Contoh: Ferrari F40, Ferrari 458 Italia, Lamborghini Gallardo LP560-2, Porsche Cayman/Boxster, McLaren 650S, McLaren F1, Mercedes-AMG GT, Ferrari 812 Superfast

  1. M4/MA

Sama seperti MR dengan enjin di tengah antara dua gandar, tetapi kesemua empat roda menerima kuasa pacuan.

Lamborghini Aventador LP700-4. Imej: Lamborghini

Contoh: Bugatti Veyron, Audi R8, Lamborghini Huracan, Lamborghini Aventador, Ferrari FF

  1. RR

RR pula ialah konfigurasi enjin belakang sebenar. Enjin terletak betul-betul di atas atau di belakang gandar belakang. Konfigurasi unik ini sering dikaitkan dengan keseimbangan berat yang kurang ideal, terutamanya ketika mengambil selekoh.

Porsche 911 “dihormati” kerana tetap setia dengan konfigurasi RR dan seiring kemajuan teknologi, mereka mampu membuatkan 911 semakin seimbang. Konfigurasi RR juga mempunyai kelebihan cengkaman ketika mula memecut atau keluar selekoh.

Porsche 911 (991.2) GT3. Imej: Atocar

Contoh: Volkswagen Beetle original, Porsche 911 Carrera S, Porsche 911 GT3, Porsche 911 GT3 RS

  1. R4/RA

Akhir sekali, R4 atau RA ialah versi 4WD atau all-wheel drive untuk RR. Terdapat propeller shaft di tengah kenderaan yang menghantar kuasa ke gandar depan.

Porsche 911 (991.1) Turbo S Cabriolet dan Coupe. Imej: Auto Trader

Contoh: Porsche 911 Carrera 4S, Porsche 911 Turbo S

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here