Elak 3 kesalahan ini semasa brek kecemasan mampu selamatkan nyawa dan motosikal anda

7409

Anda pasti masih ingat teknik brek kecemasan semasa mengambil lesen motosikal, iaitu tekan brek tangan dan kaki (depan dan belakang) sehingga berhenti. Hanya kaki kiri sahaja yang dibenarkan memijak jalan raya, manakala kaki kanan kekal di pemijak brek.

Teknik ini tidaklah salah. Namun tiada perincian halus (fine-tuning) kepada teknik diajar itu. Menurut Greg Widmar yang juga seorang Youtuber dengan nama MotoJitsu, terdapat tiga kesalahan utama biasa dilakukan semasa brek kecemasan.



Greg merupakan seorang instructor atau pengajar kursus-kursus tunggangan seperti MotoVentures, CA Superbike School, Champions Riding School dan Total Control.

Imej: MotoJitsu

Kursus-kursus di bawah MotoJitsu ini sesuai untuk semua penunggang sama ada anda baru memperoleh lesen, rider santai hujung minggu atau pelumba profesional.

Tiga kesalahan utama itu adalah:

  • Guna terlalu banyak brek belakang
  • Langsung tak gunakan brek depan
  • Pandang ke bawah semasa membrek

Kesalahan-kesalahan ini biasa dilakukan oleh peserta dalam kursus-kursus yang dijalankan.

1. Guna terlalu banyak brek belakang

Imej: The Drive

Menurut Greg, anda memang akan berhenti dengan brek belakang, tapi dengan tayar belakang terkunci, anda hanya akan menggelungsur dan mengambil jarak yang panjang untuk berhenti.

Tayar belakang sangat senang terkunci kerana semasa membrek, berat akan dipindahkan ke depan, maka bahagian belakang akan menjadi ringan.

Lain lah kalau brek belakang dilengkapi ABS. Sedangkan motosikal dengan brek ABS di depan pun masih jarang didapati.

Anda memerlukan teknik yang betul untuk menggunakan brek belakang dan mengelakkan tayar terkunci. Tetapi dengan teknik betul pun, jarak diperlukan untuk berhenti sangatlah jauh kerana ia tidak berkuasa seperti brek depan.

Cara betul: Anda perlulah guna brek belakang dengan berhati-hati dan daya brek itu semakin berkurang apabila anda semakin hampir untuk berhenti. Jika anda hanya terus pijak sekuat hati sepanjang masa, anda takkan berhenti dengan selamat.

2. Langsung tak gunakan brek depan

Ya, ramai yang takut gunakan brek depan, takut ter-wikang, takut terbabas dan sebagainya. Sebenarnya, brek depanlah “perisai” utama anda, tetapi dengan teknik yang betul.

Pernah terfikir kenapa superbike mempunyai cakera brek lebih besar di depan? Dan bukan satu, malah dua keping brek. Takkan untuk saja-saja tayang tulisan Brembo, kan? Sememangnya brek depan sepatutnya memainkan peranan utama dalam memberhentikan motosikal dengan selamat.

Cara betul: Gunakan brek depan secara berkadar (ya, walaupun dalam situasi kecemasan!). Greg berkata, tuil brek itu harus “diperah”, bukan “direntap”. Perah secara berkadar 10-20-30-40-50-60-70-80-90-100 dengan cepat. Bukannya 10-20-30-90-100.

Lebih baik brek secara terkawal dari terus terbabas, bukan? Yang penting tenang dan jangan mudah panik.

3. Pandang ke bawah semasa membrek

Tahukah anda, anda akan pergi ke mana anda pandang? Tangan dan badan kita berfungsi dengan mengikuti ke mana arah pandangan mata kita. Jadi, penting untuk pandang ke mana anda mahu pergi.

Prinsip ini bukan sahaja untuk menunggang motosikal, tetapi juga untuk memandu.

Dalam brek kecemasan semasa menunggang motosikal, jika anda hanya pandang ke bawah di depan tayar depan, atau pandang ke tepi bawah, kemungkinan besar anda akan jatuh.

Cara betul: Jadi semasa membrek kecemasan, anda perlu peka dengan keadaan sekeliling. Pandang ke depan dan mungkin cari ruang ke mana anda boleh berhenti dengan selamat, dan pada masa sama, peka dengan cermin sisi untuk melihat jika ada kenderaan lain di belakang anda.

Ya betul, jika anda dilanggar dari belakang, anda tidak bersalah. Tapi pasti sakit juga, kan?

Anda boleh dengar penerangan terperinci dari Greg dalam video di bawah. Dia juga menekankan ketiga-tiga pembetulan kepada kesalahan ini perlu dilatih sekaligus.

Belajar cara brek depan dan belakang dengan betul, dan peka dengan keadaan sekeliling.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here