Toyota Hilux 2020 kini boleh ditempah – rupa lebih maskulin, enjin lebih berkuasa, dari RM94k

3199

UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengumumkan telah membuka tempahan bagi Toyota Hilux 2020 yang dipertingkat.

Model yang dikenali sebagai ‘raja trak pikap’ ini akan membawakan penampilan lebih segar luar dan dalam, lebih prestasi, naiktaraf keselamatan, dan lebih nilai untuk wang.



Pelanggan kini boleh memilih dari lima varian Hilux, dengan Double Cab 2.4 E A/T menjadi tambahan penawaran terbaru.

Varian Double Cab 2.8 Rouge A/T akan menggantikan Double Cab 2.8 Black Edition ketika ini, sementara Double Cab 2.4 V A/T merupakan naik taraf daripada varian Double Cab 2.4 versi L-Edition.

Bagi yang mahukan transmisi manual, varian Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 masih tersedia.

Rupa lebih segar

Beberapa elemen penggayaan pada Hilux baru ini juga telah diberi sentuhan yang lebih segar, seperti bampar depan, gril serta kemasan lampu kabus. Bagi varian tertinggi Double Cab 2.8 Rogue, lekuk pada bonetnya juga baru, berserta bahagian skid plate.

Sementara itu, varian paling asas pula menerima rim rekaan baru bersaiz 17-inci dan 18-inci. Di dalam, perubahan paling ketara ialah bagi varian paling lengkapnya yang hadir dengan rekaan dalaman baru meliputi rekaan meter, pencahayaan pada kemasan bukaan pintu serta bahagian kunciyang juga dengan rekaan terkini.

Varian paling asas menerima rekaan meter baru dengan paparan maklumat tambahan pada Multi Information Display (MID).

Tujuh warna diberikan sebagai pilihan bagi Hilux 2020 ini; Bronze Mica Metallic (warna baru), Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic, dan Super White II.

Prestasi dinaiktaraf

Hilux 2020 akan menggunakan enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel yang sama, tetapi telah diberikan penambahbaikan untuk meningkatkan lagi output kuasa dan torknya.

Unit berkenaan kini menjana 204PS pada 3,400 rpm (27PS lebih tinggi), sementara tork maksimum ialah 500Nm dan dicapai antara 1,600 rpm hingga 2,800 rpm (tambahan 50Nm). Walaupun enjinnya lebih berkuasa, kadar penggunaan bahan api tidak meningkat.

Sebagai tambahan, ciri penyejuk pra-EGR (Exhaust Gas Recirculation) sejukan cecair jenis paip berkembar turut dipasang untuk mengoptimumkan suhu gas EGR.

Sistem stereng berkuasa pula menampilkan ciri Variable Flow Control (VFC) yang mengurangkan penggunaan bahan api pam stereng.

Pada masa yang sama, pemandu akan menikmati rasa stereng yang lebih baik dan natural di dalam kelajuan yang berbeza-beza.

Hilux baru ini juga datang dengan Limited Slip Differential (LSD) automatik yang membantu melalui sistem kawalan cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan output enjin ketika satu daripada tayar belakang mula hilang cengkaman pada permukaan.

Sistem LSD automatik berkenaan diaktifkan ketika dalam mod pemanduan High dan pacuan 2WD dengan kelajuan sehingga 50 km/j.

Toyota Safety Sense

Selari dengan matlamat Toyota untuk menjadikan kenderaan keluarannya lebih selamat dan mengurangkan kemalangan jalan raya, banyak model-modelnya kini dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS).

Sistem ini terdiri daripada tiga rangkaian sistem berbeza; Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control serta amaran pertukaran lorong dengan ciri Yaw Assist.

Berminat?

Tempahan kini dibuka di semua wakil pengedar Toyota seluruh negara. Harga anggaran dijangka bermula dari RM93,880 sehingga RM148,880 untuk varian 2.8 Rogue.

Pelanggan yang terawal boleh menikmati harga istimewa RM144,880 yang ditawarkan hanya untuk model Toyota Hilux D/CAB 2.8 Rouge AT 4×4 (jualan tahun 2020) sahaja.

Untuk membuat tempahan, boleh berkunjung ke bilik pameran Toyota berdekatan, atau layari toyota.com.my serta hubungi talian bebas tol 1-800-88- TOYOTA (869682).

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here