
RM Sotheby’s kini mengumumkan akan menjual 3 kereta konsep Berlina Aerodinamica Tecnica (B.A.T) Alfa Romeo yang pernah diperkenalkan pada Turin Auto Show pada tahun 1953, 1954 dan 1955.
Tiga kereta konsep tersebut yang dikenali sebagai B.A.T. 5, B.A.T. 7 dan B.A.T. 9d, direka oleh Franco Scaglione dan dihasilkan menggunakan tangan oleh Bertone.
Ketiga-tiga kereta konsep ini dianggap sebagai kereta konsep automotif terpenting yang pernah dibina, dimana kesemuanya akan dijual di acara lelongan Contemporary Art Evening pada 29 Oktober.
B.A.T. 5
B.A.T. 5. Scaglione dihasilkan untuk memaksimumkan aliran udara, dimana kereta ini mempunyai reka bentuk aerodinamik yang unik tidak seperti kenderaan lain pada masa ia dihasilkan.
Kereta ini disertakan dengan warna kelabu yang gelap dan diperkenalkan buat pertama kali di Turin Auto Show yang berlangsung pada Mei 1953. Pada bulan Oktober tahun yang sama, kereta ini telah dijual kepada Stanley Arnolt dan dipamerkan di Amerika Syarikat.
Arnolt memandu kereta selama beberapa tahun sebelum menjualnya kepada Joe Pyrsak, yang menyimpannya selama 30 tahun.
Pada tahun 1987, B.A.T. 5 dijual kepada pengumpul di California dan telah dibaik pulih selama setahun sebelum dipamerkan di Pebble Beach Concours d’Elegance pada Ogos 1988.
B.A.T 7
B.A.T 7 yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1954 difahamkan menggunakan gear yang sama seperti Alfa Romeo 1900.
Untuk rekaan, Scaglione mengecilkan ruang kemasukan udara, menurunkan tinggi badan kereta lebih dari dua inci dan memanjangkan tailfin. Kereta konsep ini mempunyai pekali seretan (drag coefficient) yang sangat rendah iaitu hanya 0.19.
Selepas diperkenalkan di Turin Auto Show, kereta ini dimiliki oleh Alfa Romeo pada tahun 1955 dah dihantar ke Amerika Syarikat untuk dipamerkan di New York Auto Show dan Chicago Auto Show.
B.A.T 7 telah dimiliki oleh beberapa pemilik selama bertahun-tahun sehingga ada ubah suai dilakukan pada kereta ini. Namun ia difahamkan dibaik pulih semula sepenuhnya pada tahun 1980-an.
B.A.T. 9d
B.A.T. 9d dipamerkan di Turin Auto Show pada tahun 1955. Disebabkan Alfa Romeo mahukan kereta ini lebih praktikal untuk kegunaan di jalan raya, Scaglione memendekkan tailfin dan memasang gril depan dari Alfa Romeo.
Menurut anggaran pra-lelong RM Sotheby, kesemua kereta konsep ini dijangka akan mencapai harga USD14 juta (RM58.3 juta) hingga USD20 juta (RM83.2 juta) ketika dilelong.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar