
Alfa Romeo kembali mewarnai jalan raya Malaysia selepas lebih 10 tahun dengan pelancaran dua model utama mereka – Alfa Romeo Giulia Veloce dan Stelvio Veloce.
Dibawa oleh DLSB Partners Sdn Bhd – pengedar bebas yang juga ahli Atlantis Motor Group – jenama Itali ini membuka semula operasi bilik pameran 3S baharu di TREC Kuala Lumpur.
Kehadiran semula jenama ini didatangkan dengan sokongan jangka panjang, pengalaman pemilikan serta pengukuhan semula warisan ikonik Alfa Romeo dalam pasaran tempatan.

Kedua-dua model ini juga mengetengahkan gabungan emosi, prestasi dan rekaan Itali yang membina identiti kukuh Alfa Romeo.
Pengarah Eksekutif DLSB Partners Sdn Bhd, Datuk Douglas Cheng berkata, rakyat Malaysia mempunyai hubungan sentimental dengan model-model legend Alfa seperti Giulia Sprint GT, Alfetta, 75 dan 156.
Katanya, kemasukan semula Alfa Romeo bukan hanya menawarkan kereta, tetapi menghidupkan kembali aura dan gaya hidup Alfa yang pernah ‘digilai’ peminat tempatan.

Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo pula menjelaskan, Alfa Romeo mampu menawan peminat dengan warisan, ketahanan dan sentuhan reka bentuk klasik unik.
“Dengan kemasukan semula ini, DLSB dan Stellantis mensasarkan pertumbuhan komuniti Alfisti di Malaysia,” katanya.
Model Giulia Veloce dan Stelvio Veloce menggambarkan falsafah prestasi dan seni Itali yang diiktiraf di peringkat global.

Giulia sebelum ini memenangi kategori Midsize Import buat kali kelapan dalam pertandingan BEST CARS di Pelabuhan Hamburg, manakala Stelvio dinobatkan pemenang kategori Large SUV Off-road Vehicle Import.
Harga pasaran bagi kedua-dua model ini di Malaysia bermula sekitar RM 400 ribu – bergantung kepada spesifikasi.
Bagaimanapun, harga rasmi akan diumumkan secara penuh oleh Alfa Romeo Malaysia pada Januari 2026.
Giulia moden ialah pewaris kepada lebih 50 tahun legasi sedan sport Itali.

Jentera ini meneruskan DNA model klasik seperti Giulia Sprint GT dan Alfetta dalam pakej moden yang seimbang dan menawan.
Bahagian luaran menampilkan gril Trilobo ikonik serta lampu LED Adaptive Matrix 3 plus 3 yang memberi identiti visual tersendiri.
Rim 19 inci dengan angkup brek merah Brembo pula melengkapkan karakter sporty sedan ini.
Dengan enjin turbo 2.0 liter menghasilkan 280 hp dan 400 Nm, dipadankan transmisi 8 kelajuan pacuan roda belakang, ia mampu memecut 0 hingga 100 kmj dalam tempoh 5.7 saat dengan kelajuan maksimum 240 kmj.

Kabin Giulia mengekalkan sentuhan Itali dengan material kulit berkualiti, stereng tiga jejari dan paparan digital 12.3 inci.
Suspensi Alfa Link, aci pemacu gentian karbon, nisbah stereng pantas serta pembahagian berat hampir 50:50 memastikan Giulia menawarkan pemanduan responsif, yakin dan seimbang.
Stelvio Veloce pula membawa prestasi Alfa dalam bentuk SUV bersama enjin 2.0 liter turbo 280 hp dan 400 Nm dipadankan transmisi 8 kelajuan dan sistem pacuan semua roda Q4.
Hasilnya, SUV ini memiliki karakter pemanduan hampir setara sedan prestasi.

Penggunaan suspensi sport, stereng pantas dan aci pemacu gentian karbon menjadikan Stelvio lebih dinamik berbanding pesaing dalam kelasnya.
Ruang dalamannya menampilkan gabungan material premium, rekaan Itali minimalis dan ergonomik yang selesa untuk pemanduan jauh.
Menerusi model Giulia Veloce dan Stelvio Veloce serta pembukaan rasmi showroom 3S di TREC Kuala Lumpur, Alfa Romeo sudah bersedia membina semula komuniti peminatnya dan mengukuhkan semula jenama mereka di Malaysia.




























