
Kempen Petron Malaysia’s Hypermarket Sweep yang berlangsung baru-baru ini, berjaya membawa keceriaan berganda kepada para pemenang.
Pusingan yang berlangsung itu meraikan pemenang dari enam wilayah di seluruh negara dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Pengurus Pemasaran Petron Malaysia, Wan Adibah Azian Mahmood berkata, sebanyak 160 pemenang dipilih dari setiap wilayah dan diumumkan di laman web rasmi dan platform media sosial Petron.

Pemenang hadiah utama dan kedua masing-masing menerima baucar Lotus Malaysia atau CKS (hanya untuk Sabah) bernilai RM3,000 dan RM2,000, manakala pemenang hadiah sagu hati menerima gabungan mata Petron Miles (PMiles) bernilai RM300 dan baucar barangan runcit RM300 (Lotus/CKS).
“Kami teruja untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia kami melalui Peraduan Pasar Raya Besar Petron.
“Ini menunjukkan rasa terima kasih kami atas sokongan berterusan mereka dan menonjolkan komitmen kami untuk menjadikan pembelian harian lebih bermanfaat dan bermakna selaras dengan janji Pasti OK kami,” katanya.
Semua ahli PMiles yang berdaftar, berumur 18 tahun ke atas, mendapat penyertaan automatik dengan syarat mereka membeli petrol bernilai minimum RM40 dalam satu resit dari 9 September hingga 11 November 2025.

Kempen itu berlangsung pada bulan Januari, bermula di Lotus’s Peringgit, Melaka dan berakhir di CKS Menggatal, Sabah.
Setiap pemenang diberi masa antara tiga hingga empat minit dengan maksimum empat ahli keluarga setiap pasukan yang berlumba melawan masa untuk mengisi troli mereka dengan barangan runcit.
Dalam perkembangan lain, Petron Malaysia turut menghulurkan sokongan kepada mangsa banjir baru-baru ini dengan menganjurkan Hypermarket Sweep khas di CKS Menggatal untuk 16 keluarga terjejas dari Kampung Rampaian Laut, Menggatal.
Setiap keluarga menerima barangan keperluan bernilai RM500.

Di samping itu, CKS Menggatal menyumbang hamper RM100 kepada setiap keluarga, sekali gus mengurangkan lagi beban ditanggung mangsa banjir.
Secara umumnya, kempen ini menarik lebih daripada satu juta penyertaan automatik di seluruh negara, mencerminkan penyertaan dan semangat yang tinggi daripada pelanggan Petron di seluruh negara.
Para pemenang datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk guru, kerani, dan pekerja kilang.
Ramai yang berkongsi bahawa hadiah-hadiah tersebut membantu mengimbangi perbelanjaan isi rumah sambil menyediakan pengalaman ikatan keluarga yang menyeronokkan menjelang Tahun Baru Cina dan bulan Ramadan.
Petron akan terus berinteraksi dan memberi ganjaran kepada pelanggannya melalui kempen interaktif dan menarik, dengan lebih banyak inisiatif akan datang sebagai sebahagian daripada kempen Pasti OK.





























