PAL-V Liberty kereta terbang yang kini sah dipandu di jalanraya!

349

Semasa terperangkap dalam kesesakan trafik, anda pasti pernah terfikir alangkah bagusnya jika kereta anda boleh terbang sahaja dan mendarat di rumah.

Kini mungkin fantasi anda itu boleh menjadi realiti. Tidaklah serupa begitu, tetapi idea kereta terbang nampaknya sudah semakin hampir.

Ini bukan projek ‘kereta terbang nasional’ kita yang menjadi bualan tahun lepas, ini betul punya!

PAL-V Liberty telah mendapat kelulusan untuk kegunaan jalanraya di Eropah. Dan kelulusan ini akan dibuat secara berperingkat untuk rantau-rantau lain juga di seluruh dunia.

Projek kereta terbang PAL-V Liberty diusahakan oleh PAL-V, sebuah syarikat dari Raamsdonksveer, Belanda.

Mula diasaskan pada 2007, syarikat ini terdiri dari pakar-pakar dunia penerbangan, automotif, R&D, dan pemasaran.

Prototaip awal PAL-V Liberty

Prototaip telah mula terbang dan memulakan ujiannya pada 2012 sebelum PAL-V memperhalusi unit komersial mereka iaitu Liberty.

Perkembangan terbaharu ini ialah kerana Liberty telah lulus dari ujian-ujian jalanraya Eropah yang ketat.

Pelbagai ujian dijalankan sejak Februari tahun ini termasuklah pemanduan berkelajuan tinggi di litar, brek, ujian pelepasan (emisi), serta ujian pencemaran bunyi.

Mike Stekelenburg, Ketua Pegawai Teknikal PAL-V berkata: “Sangat mencabar untuk membolehkan ‘pesawat lipat’ lulus semua ujian jalanraya.

“Paling mencabar ialah untuk membolehkan ia lulus kedua-dua ujian jalanraya dan penerbangan.”

Jadi, apa sebenarnya PAL-V ini dan bagaimana ia berfungsi? PAL-V Liberty ialah kenderaan dwi-mod yang boleh dipandu dan diterbangkan.

Ia menampilkan konfigurasi subframe tiga roda dengan dua rotor dan sirip kawalan. Kuasa diperolehi dari dua enjin Rotax, iaitu jenama enjin terkenal dalam industri penerbangan.

Semasa menjadi kereta, PAL-V Liberty menggunakan pacuan roda-belakang seperti kereta sports. Kemudian dalam mod pesawat, sebuah propeller atau kipas menghadap ke belakang menyediakan kuasa tujahan ke depan.

Sementara itu, rotor utama di atas tidak berkuasa, sebaliknya ia menggunakan konsep gyrokopter yang memberikan daya angkat apabila ia berpusing cukup laju setelah Liberty memecut ke depan.

PAL-V Liberty menawarkan transformasi mudah antara kereta dengan pesawat. Penukaran mod hanya mengambil masa kurang 10 minit. Dah macam Transformers!

Kelebihannya ialah jika anda mempunyai pesawat peribadi, anda memang boleh terbang ke mana sahaja, tetapi pesawat itu perlu disimpan di lapangan terbang setelah mendarat.

Dengan PAL-V Liberty, lipat-lipat sedikit dan anda boleh pandu ‘pesawat’ tadi balik ke rumah.

Dari segi keselamatan, konsep gyrokopter ialah teknologi yang telah terbukti. Ia bukan sahaja stabil semasa terbang, tetapi masih mampu mendarat dengan selamat walaupun enjin tidak berfungsi.

Menurut PAL-V, tempahan kini semakin banyak. Dan jika anda berminat memilikinya, anda perlu mempunyai lesen memandu dan juruterbang.

Menurut mereka lagi, 80 peratus dari bakal pemilik adalah baharu dalam dunia penerbangan. Jadi sebahagian dari mereka telahpun menjalani latihan di PAL-V FlyDrive Academy.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here