Tesla Model S versi roadster dihasilkan oleh Ares Design, satu unit sahaja di dunia!

2057

Ares Design telah mengubah Tesla Model S menjadi sebuah convertible dengan ‘membuang’ bumbung kereta EV itu. Beberapa perubahan luaran dan dalaman turut dilakukan.

Syarikat coachbuilder Itali itu menjalankan proses ubahsuai untuk seorang pelanggan yang membawa sendiri Model S miliknya.



Untuk mendapatkan rupa convertible itu, jurutera Ares memotong bumbung dan membuang pintu belakang serta tiang-B bagi memberi ruang kepada pintu depan yang lebih panjang.

Kemudian mereka memasang bumbung fabrik dan membesarkan but untuk menempatkan ruang simpanan bumbung semasa dilipat. Ubahsuai ini diakhiri dengan kemasan gentian karbon di bahagian luar.

Ares tidak menyentuh powertrain Model S itu, iaitu model asas yang menghasilkan kira-kira 310hp dan mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 4.2 saat.

Walaubagaimanpun, seperti model-model convertible lain, jurutera Ares telah memperkukuhkan casis Tesla itu untuk menggantikan bumbung yang telah tiada. Kebanyakan pengukuhan ini diberi di bahagian sisi, dalam kokpit dan di bahagian tempat duduk belakang.

Di bahagian dalam, Ares memberikan tempat duduk belakang khas, manakala kemasan kulit diberikan warna putih ais dengan kontra oren.

CEO Ares, Dany Bahar berkata: “Kami di sini mempunyai falsafah yang membenarkan pelanggan bekerjasama dengan pereka bentuk dan jurutera kami untuk menghasilkan kereta yang sangat unik.

“Projek Tesla ini salah satu contohnya,” katanya.

Tesla Model S roadster ini antara projek berprofil tinggi terkini yang dijalankan oleh Ares. Minggu sebelumnya, syarikat itu membuat satu projek Land Rover Defender, dan pada Ogos tahun lepas dengan projek Lamborghini Huracan.

Ares walaubagaimanapun bukanlah coachbuilder pertama yang mengubahsuai sedan Tesla itu. Pada 2018, firma kejuruteraan British, Qwest pernah menghasilkan Tesla Model S versi wagon, manakala satu lagi syarikat, Niels van Roij membuat kereta hampir sama tahun lepas.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here