Tesla Model S 2021 dikemaskini, varian prestasi Plaid baharu, stereng macam kapal terbang!

2112

Setelah beberapa tahun, Tesla baru memberi kemaskini atau facelift yang agak signifikan kepada Model S dan Model X.

Tapi yang akan difokuskan dalam artikel ini ialah model sedan, iaitu Model S. Kenderaan EV ini sudah boleh mula ditempah melalui laman web Tesla.



Terdapat varian prestasi baharu yang diperkenalkan iaitu Plaid dan Plaid+, menampilkan powertrain tiga-motor baharu.

Perubahan banyak diberikan di bahagian dalam, dimana skrin menegak 17-inci pada model sedia ada diganti dengan skrin sesentuh melintang seperti dalam Model 3. Saiz belum didedahkan.

Tidak seperti Model 3, kluster instrumen digital dikekalkan. Paling menarik, stereng Model S telah ditukar dengan jenis yoke seperti stereng kapal terbang. Terdapat juga beberapa butang sesentuh dan roda kecil yang boleh diskrol.

Tesla juga nampaknya tidak lagi menggunakan tuil lampu signal dan gear, tetapi memindahkan semua ini ke yoke stereng baharu tadi. Kawalan lampu depan juga di sini.

Satu lagi unit skrin sesentuh disediakan di bahagian konsol tengah untuk penumpang belakang. Belum pasti lagi apakah fungsinya, mungkin lebih kepada hiburan.

Berkenaan varian prestasi Plaid, ia hadir dengan 1,020hp dari sistem Tri-Motor yang menggunakan dua motor di belakang, manakala satu lagi di depan. Dua motor belakang ini juga mempunyai ciri torque-vectoring.

Tesla Model S Plaid mampu memecut dari 0 ke 96km/j dalam 1.99 saat dan menurut Tesla, mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 628km.

Model S Plaid+ lebih pantas lagi, jika anda mampu percaya. 1,100hp dari sistem Tri-Motor yang sama, dan pecutan ke 96km/j kurang dari 1.99 saat! Quarter mile atau 400m pula boleh dicapai kurang dari 9 saat. Dah boleh kalahkan drag machine ni.

Ini menjadikan Model S Plaid+ kereta produksi dengan pecutan terpantas. Belum habis lagi, jarak pemanduan pula mencapai 837km.

Kelajuan maksima untuk Model S Plaid dan Plaid+ masing-masing 320km/j.

Dari segi rupa luaran, kedua-dua varian Plaid ini mendapat gril depan baharu dan ruang udara sisi yang mampu menyalurkan udara untuk penyejukan brek yang menggunakan bahan karbon.

Model Plaid juga didatangkan dengan fender lebih agresif dan lebar, dikatakan kerana menggunakan tayar lebih lebar dan besar untuk cengkaman dari kuasa melebihi 1,000hp tadi.

Harga untuk Model S Plaid bermula pada USD121,190 (RM491,244) manakala Model S Plaid+ bermula pada USD141,190 (RM572,314).

Penghantaran pula dijangka bermula pada musim bunga ini untuk Plaid, sementara Plaid+ akhir tahun ini.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here