5 info ringkas Hawk Mk 108 milik TUDM yang terhempas, sudah berusia lebih dua dekad

5088

Malam tadi negara dikejutkan dengan insiden sebuah pesawat Hawk Mk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang. 

Saksi mendakwa terdengar letupan kuat dua kali sebelum ternampak api marak. Insiden itu mengorbankan Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera, dan kini berada dalam keadaan stabil.



Sebenarnya kejadian sedemikian bukanlah yang pertama, kali terakhir berlaku pada 2017 yang mana pesawat pejuang Hawk Mk 108 terhempas di kawasan hutan berpaya Chukai, Terengganu, mengorbankan dua juruterbang. 

Berikut 5-informasi tentang pesawat pejuang Hawk Mk 108 milik TUDM:

1. KELUARAN BAE  

Pesawat Hawk dikeluarkan oleh BAE (British Aerospace) System Incorp. Hawk merupakan pesawat latihan lanjut dan tempur ringan yang digunakan oleh pangkalan tentera udara beberapa negara termasuklah Amerika Syarikat (AS).

Sejak terlibat dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja pada 1976, pesawat latihan atau pesawat tempur ringan tersebut masih dikeluarkan sehingga ke hari ini. Lebih daripada 900 buah jet Hawk telah dijual ke 18 buah negara seluruh dunia.

Antaranya Abu Dhabi, Dubai, Finland, Indonesia, Kenya, Oman, Arab Saudi, Korea Selatan, Switzerland, Zimbabwe termasuk Malaysia.

Menurut Wikipedia, Hawk dikeluarkan dalam empat konfigurasi iaitu:

  • Hawk 50 series: termasuk Goshawk T-45 untuk tentera laut AS
  • Hawk 60 series: dikuasakan enjin Adour mk861 turbo, menyediakan pengendalian tempur udara dan latihan penukaran senjata
  • Hawk 100 series: sistem latihan senjata dua tempat duduk dengan keupayaan serangan darat (yang digunakan Malaysia). Pesawat menyediakan latihan utama tempur dan pengendali sistem navigator serta senjata
  • Hawk 200 series: pesawat tempur satu tempat duduk dengan pelbagai peranan

2. BAE SYSTEM HAWK MK 108 TUDM

Menurut laporan Berita Harian pada 2019, perkhidmatan jet Hawk TUDM bermula pada 15 April 1994, selepas menerima dua pesawat pertama melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan United Kingdom pada 10 Disember 1990.

Ketika itu, kerajaan bersetuju untuk mendapatkan perkhidmatan Mk 108 (10 unit) dan Mk 208 (18 unit) yang mana penghantaran dilakukan secara berperingkat, membabitkan dua pesawat setiap bulan sehingga mencapai jumlah 28 pesawat.

Difahamkan, penghantaran bermula 1994 hingga September 1995. Sehingga kini, terdapat 19 pesawat Hawk yang masih beroperasi di bawah tiga skuadron. Sementara pesawat yang terhempas semalam, difahamkan jet yang disenaraikan dalam inventori TUDM pada 1994. 

Mengapa jumlahnya berkurangan?, ini kerana ada beberapa pesawat yang mengalami kecelakaan dan terhempas (rujuk fakta ke-5 kronologi insiden kemalangan Hawk TUDM). 

Antara operasi terbesar yang membabitkan pesawat itu adalah Ops Daulat pada Mac 2013, membabitkan lima pesawat Hawk Mk 208 yang ditugaskan bagi melancarkan serangan udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu, Sabah.

3. REKA BENTUK HAWK 100 SERIES 

Menurut Airforce Technology, rekaan Hawk lebih kepada konvensional. Hawk 100 Series didatangkan dengan dua kerusi krew yang mana jurulatih duduk di kokpit belakang dan pelatih di depan secara tandem. 

Sistem kawalan setiap posisi lebih banyak pada bahagian jurulatih yang mana tenaga pengajar boleh mengambilalih pesawat apabila diperlukan.  Bahagian hidung Hawk 100 series direka semula bagi menempatkan sensor tambahan dan sistem avionik termasuklah inframerah pandangan depan (FLIR).

Pesawat itu mempunyai tujuh titik keras pada sayap untuk muatan senjata. Peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat boleh dipasang pada pelancar peluru berpandu di hujung sayap.

Untuk makluman, pada 2017 NST melaporkan BAE dan Airod menandatangani persetujuan membaikpulih pesawat Hawk TUDM. Naik taraf yang dicadangkan adalah radar amaran penerima, langkah balas (countermeasure) elektronik dan perakam video digital.

Perjanjian yang ditandatangani di LIMA 2017 itu, difahamkan hanya dilakukan pada Mk 208. Bagaimanapun Pengarah Jualan Serantau BAE Systems, Steve Osborne berkata naik taraf itu juga boleh digunakan untuk Mk 108. Program tersebut dikatakan mengambil masa tiga tahun.

4. BAKAL DIGANTI DENGAN PESAWAT RINGAN LCA

Sekitar pertengahan tahun ini, media antarabangsa melaporkan Kementerian Pertahanan melancarkan tender terbuka pada 22 Jun hingga 22 September (2021) bagi pembekalan 36 jet tempur ringan (LCA) TUDM.

Perolehan itu bakal menggantikan Hawk Mk 108 (5-unit) dan Mk 208 (13 unit) yang digunakan lebih sedekad lalu. Sehingga berita berkenaan ditulis, Utusan melaporkan lapan syarikat antarabangsa berminat membida tender tersebut. 

Untuk maklumat, pesawat Hawk ditempatkan di 15 Skuadron ‘Panther’, 1 Division, Pangkalan Udara Butterworth di Pulau Pinang dan 6 Skuadron ‘Cakra’, 2 Division, Pangkalan Udara Labuan.

Dengan jumlah besar pesawat baharu itu, TUDM dilaporkan merancang untuk membentuk satu pasukan FLIT dan dua skuadrom LCA namun belum lagi ditetapkan lokasi pangkalan.

TUDM dijangka dilengkapi pesawat tempur ringan (LCA) dan Jet Latihan Lanjutan (FLIT) dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

5. KRONOLOGI INSIDEN HAWK TUDM

Berikut kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk TUDM yang terhempas dan mendarat cemas sejak 1996.

  • 18 Jun 1996: Pesawat Hawk Mk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.
  • 23 Julai 1996: Jet Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.
  • 10 September 1998: Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk Mk 208  terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200km dari Kota Bharu, Kelantan.
  • 2 Oktober 2000: Hawk Mk108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.
  • 18 Disember 2003: Dua juruterbang terbunuh apabila Hawk 108 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
  • 23 Jun 2005: Hawk Mk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbang.
  • 4 Mei 2007: Hawk Mk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.
  • 15 Jun 2017: Pesawat pejuang Hawk Mk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang terkorban selepas pesawat terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
  • 16 November 2021: Sebuah pesawat pejuang Hawk Mk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here