Pemandu trak tunda rembat kereta banjir dah kena tahan

2036

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang wanita berkongsi sebuah trak tunda yang dikatakan menunda kenderaan banjir tanpa kebenaran pemilik.

Susulan kejadian itu, lelaki tersebut sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan mencuri sebuah kereta jenis Honda City milik seorang mangsa banjir di kawasan bencana di Jalan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.



Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihak polis menerima laporan yang menyatakan pengadu mendapati keretanya berada di atas trak tunda dengan nombor pendaftaran WXC3048 atas nama sebuah syarikat di Telok Gadong, Klang. 

“Trak itu dipandu oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dan dia menyatakan disuruh menunda kereta milik isteri pengadu ke bengkel.

“Pengadu sempat membuat pemeriksaan dan mendapati bateri kereta telah hilang dan nombor pendaftaran depan belakang dipatahkan serta pelekat cukai jalan juga hilang,” katanya menerusi kenyataan akhbar.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa meletakkan kereta berkenaan kira-kira jam 6 petang pada Sabtu lalu dalam keadaan baik dan berkunci di tepi jalan berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa mendapati kereta tersebut telah berada di trak tunda pukul 8.45 malam dua hari kemudian,” katanya.

Mangsa tampil membuat laporan pada Rabu selepas dihubungi oleh pihak polis susulan hantarannya yang tular di media sosial.

Arjunaidi menjelaskan siasatan awal mendapati suspek itu memaklumkan kereta itu disuruh ditunda ke bengkel oleh seorang lelaki tidak dikenali.
 

“Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun iaitu pemandu lori tunda tersebut dan permohonan reman akan dibuat hari ini (semalam) manakala siasatan terhadap suspek sedang dijalankan,” tambahnya

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here