RFID: Ini 5 masalah buat pengguna ‘naik hantu’

6535

Pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula pada malam Sabtu lalu. 

Isnin merupakan hari bekerja, media sosial dipenuhi dengan pelbagai rungutan gara-gara RFID. Bahkan jika anda melihat Facebook Group RFID Malaysia, begitu banyak aduan dilontarkan pengguna baharu terutamanya. 



Sayangnya, sistem RFID yang bermasalah memberi kesan buruk pada PLUS Malaysia. Bahkan rungutan tersebut bukanlah baharu melainkan isu berulang.

Seharusnya sebelum pelaksanaan secara menyeluruh, pihak bertanggungjawab sudah siap siaga ataupun menambahbaik isu ‘lapok’ tersebut. Situasi beginilah yang membuatkan pengguna ‘naik hantu’, bukannya memudahkan namun menyusahkan kata netizen. 

Di bawah ini, kami himpunkan lima isu hangat RFID yang dihadapi pengguna:

1. TRAFIK SESAK, SMART TAG DIGANTI DGN RFID

Pagi ini sudah banyak rungutan dalam kalangan pengguna. Sebelum ini PLUS Malaysia menjelaskan lorong SmartTAG dan Touch n Go masih ada walaupun pelaksanaan RFID akan mula diperkenalkan secara berperingkat.

Bagaimanapun kesesakan teruk berlaku di plaza tol Bandar Seri Putra susulan lorong SmartTAG diganti dengan RFID. Manakala di plaza tol Rawang Selatan pula netizen mendakwa hanya tinggal dua lorong Touch n Go. 

Bahkan situasi trafik sesak turut berlaku di Sungai Besi sehingga 10km menghala ke Kuala Lumpur.

2. GAGAL IMBAS- UNDUR BERJEMAAH

Selain itu, penyumbang kepada trafik sesak berkenaan susulan pembaca RFID gagal mengimbas kod pengguna. Keadaan itu menyebabkan pemandu terpaksa mengundurkan kenderaan mereka diikuti kenderaan di belakang secara berjemaah.

Bahkan ada juga pengguna yang berkongsi pengalamannya, ketika memasuki lorong tol RFID tiada masalah namun sebaliknya terjadi apabila palang tidak terbuka ketika keluar tol. 

3. TOLAK BAKI DUA KALI 

Menerusi perkongsian di Facebook Group RFID Malaysia beberapa pengguna berkongsi pengalaman baki ditolak sebanyak dua kali akibat kegagalan RFID. 

Ini berlaku apabila palang RFID tidak terbuka dan pemandu memilih untuk menukar ke  lorong SmartTAG atau Touch n Go. 

Menerusi perkongsian pengguna Facebook Zam HartaMas;

“E wallet kena charge, tapi gate tak buka. Kronologi, kereta depan sangkut kat RFID, gate tak buka. Kitapun dah slow awal sebelum masuk line RFID. Jarak kereta depan 4/5 meter.
 
“Kereta depan undur dan tiba-tiba gate terbuka. Tiba turn kita gate tak buka langsung. Terpaksala reverse dan masuk lane SmartTAG. Sampai umah check, TNG wallet kena charge. Selama guna SmartTAG tak pernah pula jadi,” jelasnya menyatakan kejadian berlaku di tol Sungai Ramal Kajang.
 
Kes kedua pula dialami oleh Muhammad Yunus Abdul Latiff; 
 
“Salam saya nak tanya. Sapa pernah jadi bila lalu tol dia deduct Touch n Go dan RFID serentak. Naya pak karimm. Mohon pencerahan.” 
 
Berdasarkan dua situasi di atas, pengguna RFID yang lain berkongsi pandangan menjelaskan seharusnya pengguna perlu pastikan palang kereta depan terangkat sebelum masuk ke lorong RFID. Ini bagi mengelak kejadian seperti perkara di atas berlaku.
 
Selain itu, pengguna juga mengingatkan pemilik agar masuk dan keluar hanya menggunakan lorong RFID bagi mengelak dikenakan caj sebanyak dua kali. 
 
Antara pendapat yang dikongsi pengguna:
 
“Selagi dia tak angkat palang, saya tunggu luar bumbung dan biarje dia undur dengan tenang, weakness RFID buat masa ni.”
 
“Saya nk bagitahu pengguna RFID, jika lalu palang tak buka jangan sesekali undur masuk lorong lain ye, tekan intercom atau tunggu sampai staff tol datang tembak tag RFID guna mobile gun.”
 
“Tolong bayar untuk orang.. Biasa jadi. Claim balik, syak kete depan dapat.”

4. CAJ MAKSIMUM MASUK ATAU KELUAR TOL SELAIN LORONG RFID

Selain itu, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalamanya yang dikenakan caj maksimum apabila menggunakan lorong berbeza selain RFID ketika masuk atau keluar tol. 
 

“Semalam (Ahad), saya masuk lebuh raya PLUS di Plaza Tol Sungai Besi menggunakan RFID. Guna RFID akan tolak wang kita dari e-dompet.

“Saya keluar di Tol Kajang menggunakan laluan SmartTAG kerana laluan RFID sesak. Guna SmartTAG, dia caj kad Touch n Go (TnG) saya.

“Sepatutnya saya dikenakan caj kurang RM1 tetapi mereka caj RM43.46 berdasarkan kadar jarak perjalanan paling jauh menggunakan lebuh raya itu,” dakwanya menerusi hantaran yang dikongsi pagi tadi. 

Kejadian tersebut berlaku apabila sistem menganggap pengguna memasuki lebuhraya tanpa rekod dan caj maksimum akan dikenakan mengikut jarak perjalanan paling jauh laluan itu.

4. PELEKAT RFID YANG SENSITIF & CEPAT KOYAK

Selain pembaca RFID yang kadang kala tidak dapat mengimbas kod, masalah yang dihadapi pengguna adalah tag RFID yang terlalu sensitif. Seharusnya pihak PLUS Malaysia menaiktaraf material pelekat sedia ada kerana sudah banyak kes yang dilaporkan.
 
Bahkan pelekat tersebut juga dicadangkan dilekatkan pada bahagian luar cermin depan mahupun lampu utama bagi memudahkan imbasan kod. Bagaimanapun hasil tinjauan kami di Group RFID Malaysia bagi mengelakkan kerosakan ada antara pengguna yang memilih melekatkan tag RFID pada bahagian dalam cermin depan.
 
Selain itu, ada yang melekatkan di atas filem atau lapik lutsinar seperti mana mereka melekadkan cukai jalan kenderaan. Ini kerana bagi mengelakkan risiko yang terjadi pada beberapa pengguna sebelumnya.
 
Misalnya seorang pengguna yang berkongsi tag RFID miliknya yang baru ditampal cair akibat cuaca panas. Berdasarkan tinjauan kami ada antara pengguna yang terpaksa menukar dua kali pelekat tersebut.
 
Berikut antara situasi yang dihadapi pengguna:
 

“Hi nak tanya RFID rosak boleh ganti? Car wash tertanggal, koyak, nak replace perlu bayar ke? Stick kat lampu tak last long ni,”- Henry Yim.
 
“Askum semua saya punya sticker da tercabut ? Boleh pakai lagi tak kalau macam ni? Dan macam nak aktifkan yang baharu, betul-betul menyusahkan,” – Mohd Hafiz.
 
“Farah nasihatkan pada sesiapa yang ingat senang nak letak RFID tu, janganlah bazir duit. Cari fitmen centre terdekat. Saya dah dua kali lekat tak dapat detect. Posisi tampal semuanya ok dan ikut syarat. Siap check kat fitment centre, bolehje baca, last-last malas nak tunggu buat kali ketiga terus kt centre. Lapor Touch n Go diorang buat bodohje. Dh RM70 habis mcm tu,”- Farah Lee.
 
“Sapa guna CRV mcm saya, CRV saya tak boleh pasang. Saya nak pasang kat lampu katanya lampu putih tak boleh detect. Help…sapa ada info RFID fitment centre area Kajang,”- Amir Zaki.
 
Sistem RFID yang ada di Malaysia ini belum matang dan masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan. Bukan saja tidak seragam bahkan mengelirukan. 
 
Isu yang sering dirungutkan pengguna bukanlah baharu dan mengapa sehingga kini pihak bertanggungjawab tidak menyelesaikan ‘masalah tersebut’ sebelum memutuskan  pelaksanaan menyeluruh yang boleh dianggap tergesa-gesa. 
 
Bahkan setiap keluhan pengguna perlu didengar agar menambahbaik sistem bukannya menutup ruangan komen Facebook PLUS Malaysia. Kalau begini sampai 2030 masih ada pengguna RFID yang terpaksa mengundur setiap kali melalui RFID. 
 
 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here