Thailand laksana sistem M-Flow tanpa palang, elak trafik sesak di lorong tol

1625

Jika Malaysia masih lagi berdepan dengan isu pembayaran tol secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), negara jiran Thailand selangkah ke depan menerusi pelaksanaan sistem tol tanpa palang M-Flow.

Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob mengutarakan rancangan tersebut kepada Jabatan Lebuhraya (DOH) dan Pihak Berkuasa Lebuhraya Thailand (Exat) bagi menambah baik perkhidmatan tersebut menggunakan platform digital.



Pengumuman lorong tol digital pada November 2020 itu bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di lorong tol dan menghapuskannya menjelang 2024.

APAKAH M-FLOW?

Tidak seperti RFID, M-Flow merupakan sistem aliran bebas automatik yang menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) termasuk kamera. Pihak lebuhraya mendakwa sistem mampu mengimbas nombor plat kenderaan dan mengenalpasti pemilik dengan 99 peratus ketepatan.

Ia membolehkan kenderaan melalui laluan tol tanpa perlu memperlahankan kenderaan pada kelajuan maksimum 120kmj. Bukannya seperti RFID lokal yang kadang kala pengguna perlu mengundurkan kenderaan. 

Sistem itu juga dapat mengendalikan 2000 hingga 2500 kenderaan perjam di setiap lorong. Bahkan DOH menjangkakan aliran trafik di lorong tol akan lima kali lebih baik berbanding sistem pembayaran tunai sedia ada.

Sistem tol tanpa palang M-Flow ditawarkan di Motorway 9 (Bang Pa-In-Bang Phli) di pintu Thap Chang 1, 2 dan Thanyaburi 1 dan 2. Pada masa depan sistem berkenaan akan ditawarkan di keseluruhan lebuh raya Thailand.

CARA PEMBAYARAN

M-Flow menggunakan sistem pasca bayar (guna dahulu bayar kemudian) dengan kaedah pembayaran melalui kad kredit, kad debit atau akaun bank.

Pembayaran perlu dilakukan pada hari pertama atau ke-16 setiap bulan. Pengguna juga boleh membayar setiap kali menggunakan lebuhraya. Sistem baharu itu bagaimanapun tidak menyokong kenderaan baharu dengan plat merah atau pudar.

Ini memudahkan pengguna tanpa perlu menambahnilai kad bagi memastikan baki yang cukup setiap kali menggunakan lebuhraya sepertimana Malaysia.

DENDA

Pengguna yang tidak berdaftar dengan M-Flow juga boleh menggunakan lorong berkenaan tetapi perlu membayar yuran perkhidmatan dalam tempoh dua hari. Jika gagal, mereka perlu membayar denda 10 kali ganda daripada yuran asal.

Denda akan meningkat jika pengguna gagal membayar dalam tempoh 12 hari. Denda itu termasuklah bayaran tol asal, denda 10 kali ganda daripada yuran asal, denda Baht 200 (RM25) oleh DOH, dan kemungkinan denda lain sehingga Baht 5,000 (RM630) kerana melanggar undang-undang jalan raya.

Setakat ini kira-kira 20,000 pemilik kenderaan sudah membayar denda itu, menurut DOH. Susulan nilai denda yang tinggi, Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob menangguhkan pelaksanaan denda tersebut sehingga akhir Mac ini. Sementara denda yang sudah dibayar akan dikembalikan semula kepada pengguna. 

Pada Februari lalu sebanyak 100,707 pengguna sudah mendaftar dengan jumlah kenderaan 110,341. Sejak sistem diperkenalkan 15 Februari lalu secara purata 60,000 kenderaan menggunakan M-Flow sehari.

Bagi mengenalpasti lorong M-Flow, pengguna boleh melihat papan tanda yang disediakan selain lorong jalan dicat dengan perkataan M-Flow berwarna biru dan merah di lorong kanan.

Sementara itu, Malaysia juga bakal beralih kepada sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF). Tahun lalu Green Packet Bhd (Green Packet) mengumumkan bakal melancarkan sistem tol tanpa palang pertama di Malaysia bermula tahun ini.

Projek dengan kerjasama FETC International Co (FETCi) dari Taiwan itu akan dipasang di Lebuhraya Besraya KM5.5 (Arah Utara) untuk pengumpulan data selama tiga bulan bermula awal 2022.

Data yang dikumpulkan daripada POC semasa tempoh tiga bulan akan dikongsi dengan pihak berkuasa dan pemegang kepentingan dengan sasaran utama untuk membuktikan penggunaan. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here