Malaysia satu-satunya negara Asean yang mempunyai Honda HR-V tiga jenis enjin!

682

Nampaknya, Malaysia satu-satunya negara rantau Asean yang menawarkan tiga varian enjin untuk Honda HR-V generasi baharu.

Jika di Indonesia, Honda HR-V ditawarkan dengan enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC turbo, manakala satu rangkaian kuasa sahaja iaitu e:HEV hybrid untuk Thailand.



Jadi mengapa SUV Kompak itu di Malaysia ditawarkan dengan tiga varian enjin? Jawapannya cukup mudah, ia adalah perancangan strategik jualan Honda Malaysia untuk memastikan semua peringkat pelangganya boleh memiliki HR-V. 

Sejak SUV Kompak Honda HR-V generasi sebelum ini diperkenalkan pada 2015, sudah 109,700 unit dijual bagi pasaran Malaysia.

Bagi generasi baharu itu, banyak pembaharuan yang sudah dilakukan pada jentera itu terutama dari segi reka bentuk, pengendalian dan rangkaian kuasa.

Ketua Projek Honda HR-V generasi baharu, Yoshitomo Ihashi berkata, HR-V generasi baharu itu berkongsi platform dengan City Hatchback.

Patutlah HR-V generasi baharu ini memiliki konfigurasi tempat duduk belakang iaitu ‘Multi Utility Seat’ yang sama seperti City Hatchback.

Cuma tempat duduk belakangnya adalah lebih luas berbanding sebelum ini, iaitu keluasan lutut penambahan 35mm, keluasan kaki (+35mm) dan kerusi dicondongkan dengan penambahan 2 darjah.

Yoshitomo turut berkata, pasukan pembangunan Honda sudah pun membuat keputusan untuk membangunkan tiga enjin berkenaan.

“Harus tahu bahawa ketiga-tiga enjin itu bukanlah dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia semata-mata. Malah, penawaran semua enjin itu juga tidaklah sukar untuk dilaksanakan.

“Biarpun HR-V dipadankan dengan enjin yang sama seperti model Honda lain, transmisi CVT sudah ditala semula terutama nisbah gear dan ECU bagi memberi pemanduan lebih yang baik.

“Bagi 1.5 liter NA DOHC i-VTEC, transmisi CVT sama yang digunakan untuk model City Hatchback, manakala 1.5 liter VTEC turbo sama pada model CR-V,” katanya pada sesi temuramah dalam talian.

Sebenarnya, kita terutama negara rantau Asean boleh dikatakan bertuah kerana ditawarkan dengan HR-V varian RS, berbanding di Jepun tidak mempunyai versi itu.

Varian RS

Di Jepun, mereka hanya menerima varian enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC dan e:HEV hybrid, sebabnya tidak ditawarkan versi 1.5 liter VTEC turbo berikutan perancangan strategik jualan Honda di sana.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini untuk pasaran Malaysia, HR-V 2022 mendapat sambutan yang sangat baik. Tempahannya sudah lebih 20,000 unit dengan tempoh menunggu mencecah 12 bulan!

Bagi pasaran Malaysia, Honda HR-V ditawarkan dengan empat varian membabitkan:

  • Honda HR-V 1.5 S 2022
  • Honda HR-V 1.5 Turbo E 2022
  • Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022
  • Honda HR-V 1.5 RS 2022

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here