Subaru Forester berpusing langgar lima kereta lain sebelum terbakar

931

Sebuah Subaru Forester terbakar manakala enam lagi rosak selepas terbabit dalam kemalangan di KM38 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) Subang Jaya. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Wan Azlan Wan Mamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima laporan kemalangan dari arah Shah Alam menghala ke Subang Jaya melibatkan tujuh kenderaan pada jam 7.30 pagi tadi.



Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan melibatkan Nissan Sylphy, Perodua Alza, Honda City, Perodua Bezza, Toyota Hilux, Toyota Vios dan Subaru Forester.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Subaru Forester dipandu remaja berusia 18 tahun yang berada di lorong tengah (keempat) mengubah haluan masuk ke laluan (ketiga) lalu melanggar pintu depan sebelah pemandu kereta lain yang sedang beratur menghala Ke Persiaran Kewajipan. 

“Akibat perlanggaran Subaru Forester berpusing lalu melanggar lima lagi kenderaan yang berada di depannya lalu berhenti di tengah jalan dan terbakar di keseluruhan bahagian,” katanya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan ke atas semua pemandu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Inspektor Abdul Nasser Peping di 012-2863875.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here