Tular bawa anak OKU buat p-hailing, Azimah tak perlu bayar cukai jalan

699

Kisah seorang ibu tunggal yang terpaksa membawa anak orang kelainan upaya (OKU) penglihatan pergi bekerja sebagai penghantar makanan menerima bantuan pengecualian cukai jalan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bantuan melalui inisiatif Pengecualian Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan OKU itu diberikan kepada Azimah Abd Rahim, 37, selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur tadi.



“Selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia, JPJ menawarkan bantuan kepada Azimah melalui inisiatif Pengecualian Fi Lesen LKM kenderaan OKU memandangkan ibu tunggal itu belum menerima manfaat berkenaan.

“Berdasarkan semakan JPJ, Azimah memenuhi kriteria ditetapkan dan layak menikmati keistimewaan pengecualian fi LKM sekali gus membantu meringankan beban kewangan,” katanya. 

Inisiatif itu diberikan kepada Keluarga Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan seperti merupakan golongan OKU atau dikategorikan sebagai ibu bapa, penjaga serta pasangan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Justeru, bagi yang layak dan belum menerima keistimewaan itu, mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran untuk membuat pengisytiharan kali pertama dan memohon pengecualian fi LKM untuk kenderaan OKU.

“Keistimewaan pengecualian fi LKM untuk kenderaan OKU layak diberikan kepada kenderaan diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai serta terhad kepada pemasangan tempatan sahaja,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kenderaan terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu tersebut selain perlu mempunyai kad OKU yang dikeluarkan JKM.

Sebelum ini, kisah ketabahan Azimah tular yang terpaksa membawa anaknya keluar bekerja sebagai penghantar makanan berikutan sukar mendapatkan khidmat pengasuh ekoran keadaan kanak-kanak itu yang OKU dan hiperaktif.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here