Jentera bomba terlibat kemalangan tiga kenderaan

679

Sebuah jentera bomba terbabit kemalangan tiga kenderaan di susur masuk Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) arah Puchong, pagi tadi.

Polis menerima laporan pada jam 11.38 pagi berhubung nahas membabitkan masing-masing sebuah jentera bomba jenis Scania P310, Perodua Myvi dan Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata jentera bomba itu adalah milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta digunakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail (TTDI). 



Insiden berlaku ketika jentera bomba itu dalam perjalanan ke Bahagian Kejuruteraan JBPM Kuala Lumpur di Bandar Kinrara untuk proses baik pulih.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu Perodua Myvi dikatakan keluar dari susur sebelah kiri terus masuk ke laluan jentera bomba sehingga berlaku perlanggaran.

“Akibat perlanggaran itu, Perodua Myvi berkenaan terbabas ke tengah laluan dan melanggar sebuah Toyota Vios. Bagaimanapun, semua pemandu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya,

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.

“Kita mohon saksi yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Nik Mohd Fazrin Abd Halim, melalui talian 019-7838911 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here