Pemilik EV ini kongsi pengalaman pandu 782.6km, empat kali berhenti cas

1032
Bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan pengguna Malaysia, kerajaan menawarkan insentif dan pengecualian cukai bagi pembelian kereta elektrik (EV).
 
Peralihan ke EV juga agak perlahan kerana kekangan stesen cas terutamanya kawasan luar bandar di samping kebimbangan pengguna daripada segi tempoh masa pengecasan apabila melibatkan perjalanan jauh. 
 
Oleh itu, ada dalam kalangan pemilik EV memiliki sebuah lagi kereta ICE sebagai alternatif untuk perjalanan jauh.
 
Tetapi, sejak kebelakangan ini tawaran stesen pengecasan semakin meningkat di stesen minyak dan pusat beli-belah sedikit sebanyak memudahkan pemilik EV merancang perjalanan mereka.

PANDU EV JARAK JAUH 

Seperti mana perkongsian pemilik BYD Atto 3 ini yang menyatakan sekiranya pemilik mengetahui lokasi stesen pengecasan, bukan lagi masalah buat mereka untuk memandu jauh. 
 
“Tiada kebimbangan jarak pemanduan dan tempoh masa pengecasan adalah munasabah,” tulisnya.
 
Ruel Abbrow berkongsi pengalaman perjalanan dua hala ke Pulau Pinang ketika Tahun Baru Cina, baru-baru ini di grup Facebook Malaysian Electric Vehicle Owners Club.
 
“Berkongsi CNY travels, KL-Ipoh-Penang-Ipoh-KL. Jarak perjalanan 782.6km,” katanya.
 
Ruel menjelaskan perjalanan tersebut mengambil masa 12 jam 30 minit manakala dia menghabiskan masa selama 1 jam 30 minit bagi pengecasan. 

CAJ DAN TEMPOH CAS 

Namun, tempoh pengecasan tersebut dijalankan secara secara berperingkat dengan kos keseluruhan RM151.61.
 
Berdasarkan hantaran yang dikongsi, berikut proses pengecasan Ruel pada 22 Januari (Ahad) lalu. 
  • Jam 9.29 pagi (Simpang Pulai, Ipoh); stesen cas Shell HPC: Durasi 19 minit dengan caj bayaran RM80.  
  • Jam 11.53 pagi (Caltex Bukit Gantang); stesen cas EVC_Caltex: Durasi 15 minit (11.951 kWh) dengan caj bayaran RM19.20.
  • Jam 6.37 petang (Petronas R&R Gunung Semanggol SB); stesen cas Gentari: Durasi 21 minit (6.648 kWh) dengan caj bayaran RM11.
  • Jam 8.44 malam (Petronas Jalan Sultan Azlan Shah); stesen cas EVC_PDB: Durasi 43 minit (41.412 kWh) dengan caj bayaran RM41.41.

Ruel memberi cadangan sebaiknya pengguna EV menghindari menggunakan Shell Recharge High Performance Charging  kerana caj yang agak mahal. Selain itu, dia juga mengalami masalah dengan aplikasi Shell HPC. 

BAZIR MASA DAN MAHAL?



Selain itu, dia juga menyatakan tidak perlu menunggu giliran pengecasan kerana slot yang kosong dan memastikan tempoh mengecas sekitar 20 minit.

“Hanya cas terakhir pada waktu malam tanpa ada orang saya lakukan selama 40 minit.

“Trafik juga lancar sepanjang perjalanan dan hanya sebahagian jalan sahaja sesak dalam tempoh yang pendek,” jelasnya.

Sementara bagi perjalanan pulang ke Damansara, Ruel menjelaskan dia berhenti di rehat dan rawat (R&R) Ulu Bernam menggunakan ChargEV.

Bagi menjawab persoalan pembaziran masa dan kos, Ruel berkata, “Jimat kalau charge sampai 100 peratus di rumah (~RM30). Lepas tu hanya perlukan dua top-up RM20 dekat stesen Gentari.

“Jumlah RM70 untuk 700+km yang memerlukan dua full-tank untuk Myvi saya (~RM110). Jimat RM40. Lagi best kalau kampung ada charger dekat rumah juga. Kos lagi murah,” tulisnya di ruangan komen.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here