Kastam Kelantan lelong 236 kenderaan dilucut hak RM3.15 juta

595

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan melelong sebanyak 236 buah kenderaan tanpa permit import (AP) yang dilucut hak bernilai lebih RM3.15 juta pada tahun lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 141 buah kenderaan bernilai RM2.87 juta masih dalam keadaan baik dan boleh didaftar telah dilelong secara terbuka melalui tiga siri jualan tender bersepadu.



Menurutnya, baki 95 buah kenderaan itu pula tidak boleh didaftarkan selain tidak lagi boleh digunakan dilelong melalui dua siri sebut harga terbuka skrap dengan nilai jualan sebanyak RM274,348.

“Siasatan mendapati, kesemua kenderaan tanpa AP dari negara jiran itu dibawa masuk untuk pasaran di negara ini. Ia akan dijual kepada rakan-rakan terdekat dan melalui iklan-iklan di media sosial seperti Facebook dan lain-lain platform.

“Harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa. Selain itu, ada sebahagian kenderaan tersebut digunakan untuk kegiatan penyeludupan rokok seludup,” katanya.

Menurut Wan Jamal Abdul Salam, kesemua kenderaan yang dilelong dan dilucut hak itu diklasifikasikan sebagai barangan larangan import yang tertakluk di bawah Butiran 3, Jadual Kedua / Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Katanya, kes-kes kenderaan yang disita disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya kenderaan, rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here