Lelaki cuba larikan bas sekolah terbabas masuk longkang

591

Keadaan di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Taman Malinja bertukar kecoh apabila seorang lelaki cuba melarikan sebuah bas sekolah sebelum terbabas ke dalam longkang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, suspek berusia 30-an bagaimanapun berjaya ditangkap oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Menurut ahli keluarga pemilik syarikat bas, Zaidi Basri, 42, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh bapa saudaranya yang melihat kenderaan tersebut dilarikan suspek dari parkir di sebuah stesen minyak.



“Saya dapat panggilan pada pukul 5.15 petang yang memaklumkan bas sekolah kepunyaan bapa, Basri Jafar, 68, telah dilarikan seorang lelaki dan telah terbabas di Lebuh AMJ.

“Saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba saya lihat suspek telah berjaya ditangkap oleh orang ramai dan dikatakan cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya. 

Tambahnya, akibat kemalangan itu bas berkenaan mengalami kerosakan termasuk di bahagian cermin depan dan tangki minyak.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun saya lega kemalangan ini tidak melibatkan kenderaan lain atau menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya.

“Mujurlah bas ini terbabas ke longkang di kiri jalan dan hanya merempuh papan tanda, sekiranya ia melanggar pengguna jalan raya di lampu isyarat berhampiran, keadaan mungkin akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Jelasnya, bas tersebut yang telah berusia 20 tahun sering diparkirkan di stesen minyak berkenaan dan masih digunakan untuk program-program lawatan sekolah. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here