Penunggang motosikal maut rempuh Proton Iriz rosak di lorong kecemasan

675

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di lorong kecemasan dalam kejadian di KM234.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Utara), Rembau, pagi semalam. 

Nahas kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa, Mohd Faliq Maula Abd Rahman, 33, dari Batu Pahat, Johor, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.



Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal skuter jenis Honda ADV 150 dan kereta jenis Proton Iriz yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang. Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kereta yang berada di lorong kecemasan.

“Kereta itu mengalami kerosakan enjin, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ujar Hazri lagi, pemandu kereta bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurutnya, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here