#TahukahAnda: Honda dan AMG pernah bangunkan Civic

2840

AMG begitu sinonim dengan Mercedes-Benz. Namun, tahukah anda sebelum ini AMG bukan sekadar sebahagian daripada jenama Jerman tersebut.

Dalam tempoh 1980-an dan 1990-an, jabatan prestasi Mercedes Benz itu pernah terlibat dalam pengubahsuaian beberapa kereta Jepun antaranya Honda Civic yang tidak pernah dijual di Amerika Syarikat, Eropah mahupun Jepun.



Model tersebut ialah Honda Ballade AMG yang dipasarkan eksklusif di Afrika Selatan. Semuanya bermula pada era 80-an, apabila Mercedes-Benz Afrika Selatan (MBSA) inginkan sebuah kenderaan lebih mampu milik berbanding Mercedes 190 ketika itu.

Pada masa sama, Honda pula cuba memasuki pasaran Afrika Selatan tetapi tidak memiliki rangkaian perhubungan wakil jualan atau pengeluar.

Apabila kedua-duanya saling memerlukan akhirnya jenama berkenaan mencapai perjanjian yang mana Mercedes mendapat lesen bagi pemasangan Ballade.

Asas sedan berkenaan merupakan Civic kelas atasan yang mana memfokuskan kepada ciri peralatan tertinggi misalnya pendingin hawa dan kemasan kulit dalam kabin.

Kehadiran model itu tepat pada masanya yang mana menawarkan produk lebih mampu milik di bawah Mercedes 190, bahkan turut menerima sentuhan AMG.

Model yang mendapat kemasan AMG tentunya melibatkan penambahbaikan prestasi. Honda Ballade AMG misalnya didatangkan dengan spring Eibach lebih rendah, spoiler bersaiz besar dan rim aluminium Remotec.  

Terdapat juga khabar angin mengatakan AMG menala janakuasa sedan itu kepada 173hp. Model itu didatangkan dengan dua pilihan varian iaitu 180i dengan enjin 1.8-liter B18B4 empat silinder dan model lebih rendah 160i.

Honda Ballade AMG dilaporkan dijual sehingga generasi keempat dan kelima Civic. Maklumat lebih terperinci tentang model ini agak sukar diperoleh namun difahamkan pengeluarannya dihentikan hujung 2001.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here