[Video] Gara-gara tak hentikan kereta, pemuda sepak dan tumbuk warga emas

529

Seorang pemuda bertindak menumbuk muka, menarik rambut dan menyepak pinggang seorang warga emas gara-gara tidak menghentikan kenderaan di depan stesen minyak Petron Ampang Point, semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian berlaku pada jam 10.30 pagi, ketika mangsa memandu keretanya di depan lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama.



“Mangsa yang juga seorang doktor berusia 67 tahun menyedari kenderaannya dilanggar dari arah belakang.

“Apabila sampai di depan stesen minyak berkenaan, kenderaan mangsa dihalang dari arah depan oleh sebuah kereta Mercedes berwarna putih.

“Kemudian seorang lelaki turun dari kenderaan itu dan bertindak membuka pintu kereta mangsa lalu menumbuk muka bahagian kanan pipi, menarik rambut dan menyepak mangsa di bahagian pinggang menyebabkan mangsa berasa sakit,” katanya.

Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengendahkan arahan untuk memberhentikan kereta semasa pelanggaran kenderaan berlaku.

Suspek telah ditahan dan hasil semakan tiada rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing didapati negatif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Hukuman bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here