Perodua Myvi hilang kawalan, guru temui ajal depan klinik kesihatan

318

Perjalanan seorang guru lelaki untuk mengajar di sebuah sekolah menengah berakhir tragedi apabila maut dalam nahas di depan Klinik Kesihatan Seri Tanjung, Melaka, hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Goh Mun Hock, 59 disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kemalangan mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Bandar Melaka ke sekolah berkenaan.



“Sampai di lokasi, tiba-tiba kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke arah kiri jalan dan merempuh tembok Klinik Kesihatan Seri Tanjung.

“Akibat nahas itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati nahas berlaku di kawasan dua lorong dan cuaca dalam keadaan baik.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

“Setakat ini tiada saksi tampil memberi keterangan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here