Gua Musang antara 10 bandar terbahagia di Malaysia

576

Penduduk Gua Musang tidak menyangka daerah ini yang suatu ketika dahulu ditakuti masyarakat luar kerana pernah digelar tempat ‘jin bertendang’ kini menjadi antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia.

Seorang penduduk tempatan, Mohd Adnan Mohd Noor, 55, berkata keadaan bandar Gua Musang kini berbeza apabila berubah kepada sebuah bandar transit yang semakin meningkat maju.



Kedudukannya yang terletak di bahagian selatan ne­geri menjadi pilihan orang ramai kerana boleh dihubungkan melalui jalan raya Persekutuan atau menggunakan Keretapi Ta­nah Melayu Berhad (KTMB).

“Saya merupakan anak jati Gua Musang berasa bahagia de­ngan persekitaran bandar ini yang aman dan damai serta dikelilingi gua batu kapur.

“Gua Musang kini menjadi bandar transit apabila menjadi laluan ke arah negeri Pahang, Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur, namun kami bahagia kerana tidak berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk seperti bandar lain,” katanya.

Bagi seorang penduduk, Sharuddin Ibrahim, 61, pula berkata Gua Musang terbukti bandar bahagia apabila semakin banyak pemilikan rumah di daerah ini daripada orang luar.

Katanya, zaman dahulu tidak ramai orang mahu menghuni kawasan ini kerana menganggap­nya sebagai kawasan terpencil.

“Sekarang ini semakin ramai orang seronok tinggal di sini termasuk orang yang berulang-alik kerja di luar kawasan.

“Saya juga berasal dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, namun lebih berminat mencari rezeki dan kini menetap di Gua Musang sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya.

Sharuddin berkata, sepanjang tinggal di Gua Musang juga jarang berlaku kes jenayah yang berat.

Terdahulu, Petaling Jaya, Manjung dan Kluang diktiraf sebagai antara 10 bandar paling bahagia 2022 di Malaysia sempena Sam­butan Hari Kebahagiaan Sedunia.

Turut tersenarai adalah bandar Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah. Kesemua bandar itu dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum ban tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here