Tiga penganggur dicekup, kantoi cuba curi rim kereta

481

Tiga penganggur dicekup selepas kantoi ketika cuba mencuri rim sebuah kereta di M10, Batu 10, Padawan. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kegiatan ketiga-tiga suspek itu disedari oleh pemilik kereta kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin.



Katanya semasa pemilik kereta itu menuju ke arah keretanya, dia melihat dua daripada suspek sedang membuka rim keretanya.

“Pengadu telah menegur kedua-dua suspek kenapa membuka rim kereta itu dan suspek cuba berdalih dengan mengatakan mahu menukar tayar kereta yang pancit.

“Namun setelah pengadu memberitahu itu adalah kereta miliknya, kedua-dua lelaki itu terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang dipandu seorang lagi suspek yang berada di dalam kereta berkenaan,” katanya.

Ekoran itu, katanya pemilik kereta berkenaan yang merupakan lelaki berusia 39 tahun tampil membuat laporan polis.

Abang Zainal berkata hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) dan risikan, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan telah berjaya mengesan dan menangkap ketiga-tiga suspek berusia antara 32 hingga 36 tahun kira-kira jam 5.15 petang hari sama.

Beliau berkata sebuah kenderaan jenis Chevrolet yang digunakan suspek turut dirampas dan hasil disoal siasat mendapati, ketiga-tiga suspek turut mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here