Perodua jual 32,179 unit pada Mac, model Bezza, Axia dan Alza masih lagi kena tunggu lama

557

Momentum pengeluaran dan jualan Perodua kekal kukuh apabila mencatatkan rekod tertinggi pengeluaran iaitu sebanyak 33,666 unit kenderaan, manakala divisyen jualannya pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 32,179 unit kenderaan pada bulan Mac.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pencapaian itu disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya untuk memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023, selain penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam rangkaian jualan.



“Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terbabit.

“Kami akan meneruskan jumlah pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” katanya.

Pada asas suku tahunan, pengeluaran meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit pada suku yang sama 2022.

Peningkatan jualan 27.5 peratus

Bagi aspek jualan, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada asas bulanan, Perodua merekodkan peningkatan sebanyak 20.2 peratus kepada 32,179 unit berbanding 26,759 unit dijual Mac tahun lalu. Jumlah itu juga meningkat sebanyak 29 peratus berbanding 24,936 unit yang dijual pada Februari tahun ini.

Perodua Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang

Mengulas lanjut, Zainal berkata, prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh.

Beliau berkata, pertumbuhan pengeluaran yang berterusan berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk beberapa model tertentu.

“Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna,” katanya.

Bagi aspek pengeluaran pula, beliau berkata, penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini. Ia memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta kebanyakan pemain industri automotif.

“Situasi ini memberi kelebihan yang mana kami boleh memanfaatkannya dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat. Dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak 330,000 kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kereta pada tahun 2023.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here