Perodua Viva hilang kawalan, dua cikgu sekolah memandu maut

761

Dua pengajar latihan memandu maut selepas Perodua Viva yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu di Jalan Baru Baling – Kupang, petang tadi. 

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Hanis Fahmi Abu Bakar, 23, dan Muhamad Firdaus Z Rosli, 36. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di muka serta badan.



Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pada jam 1.02 petang, anggotanya yang bertugas di pejabat pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima maklumat daripada orang awam tentang kemalangan maut  sebuah lori dan kereta di Jalan Baru Baling-Kupang.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori tersebut dari arah Charok Nau menghala ke Kuala Ketil.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu berpusing masuk ke laluan lori dan berlanggar di bahagian depan kenderaan itu.

“Selepas itu, Perodua Viva itu terbabas masuk ke dalam longkang di tepi jalan arah ke Kupang.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang depan kereta tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambah beliau, kelindan lori mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan.

Sementara, mayat pemandu dan penumpang Viva dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pemandu lori berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here