Aksi tahan Proton Wira: Wanita tampil beri penjelasan bimbang kesihatan suami

426

Wanita yang dirakam menghalang sebuah Proton Wira di persimpangan lampu isyarat di Port Dickson, baru-baru ini dikatakan bertindak sedemikian kerana bimbangkan kesihatan suami yang memandu kereta berkenaan. 

Perkara itu dimaklumkan sendiri wanita berkenaan, 32, yang tampil bersama suaminya berusia 58 tahun di Balai Polis Port Dickson, selepas video aksinya yang dirakam pengguna jalan raya lain tular di media sosial.



Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pasangan warga Indonesia itu tampil ke balai polis untuk memberikan penjelasan selepas menyedari mengenai video yang tular itu.

Mengulas lanjut, katanya, lelaki yang memandu Proton Wira terbabit dikatakan baru sahaja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson akibat pelbagai penyakit dan isterinya sudah menasihati supaya tidak keluar dari rumah kerana risau akan kesihatannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, lelaki itu tidak menghiraukan larangan itu dan tetap keluar dari rumah mereka untuk ke rumah anak di Teluk Kemang.

“Wanita berkenaan yang menyedari perkara itu terus membonceng motosikal ditunggang jiran sebelum mengesan suaminya di persimpangan lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

“Tanpa berlengah wanita terbabit menghalang kereta dipandu suaminya dan pada masa sama, aksinya itu dirakam sehingga video berkenaan tular di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, pihak polis meminta individu yang terlibat dalam video yang tular di Twitter itu tampil untuk memberikan penjelasan mengenai kejadian berkenaan.

Muhamad Mustafah berkata, pasangan terbabit memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan menyedari tindakan itu boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here