Selepas 5 jam, Proton Wira hilang di Jempol ditemui di Mentakab

2135

Seorang pekerja swasta lega apabila Proton Wira miliknya berjaya ditemui kurang lima jam di Mentakab, Pahang selepas dilarikan di rumahnya di Kampung Ayer Itam, Jempol kelmarin.

Mohamad Fahmi Md. Radzi, 32 berkata dia yang terdengar bunyi keretanya dihidupkan sekitar jam 6 pagi kelmarin hanya sempat menjerit kepada pencuri tersebut sebelum penjenayah itu melarikan diri.



“Keluarga bapa saudara membantu saya menghubungi polis dan pada masa kami menghebahkan kejadian di media sosial.

“Alhamdulillah, hasil kerja­sama orang ramai serta pihak polis, kereta saya akhirnya ditemui di kawasan ladang sawit di Mentakab, Pahang.

“Berdasarkan gambar serta video yang diberikan orang ramai dan polis, banyak aksesori kenderaan yang dileraikan, malah nombor plat juga sudah ditukar,” katanya.

Dia menge­syaki pencuri menyasarkan aksesori Proton Wira miliknya itu yang dibeli dari seorang guru pada tahun 2017 dengan harga RM5,000.

Katanya, dia sudah berhabis berbelas-belas ribu ringgit bagi menambah aksesori sehingga ada pihak yang menawarkan untuk membeli keretanya pada harga lebih RM12,000.

“Saya memang sayang kereta ini, banyak modal habis. Kes kecurian Proton Wira di negara ini memang tinggi. Mungkin sebab harga pasarannya sentiasa ada dan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek iaitu lelaki berusia 20 tahun  direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here