Nahas tujuh motosikal, seorang remaja lelaki maut

559

Seorang remaja maut manakala enam lagi cedera selepas motosikal yang ditunggang hilang kawalan di KM259.9 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan PLUS, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata mangsa berusia 19 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.



“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sekumpulan motosikal pelbagai jenis yang ditunggang lelaki berumur antara 17-21 tahun dan seorang wanita, 21 bergerak dari arah Senawang menuju ke Ampang, Selangor.

“Mangsa yang menunggang Yamaha 135 LC di lorong tengah lebuhraya disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh, menyebabkan enam buah lagi motor lain cuba mengelak terlanggar sesama sendiri,” katanya. 
 
Selain mangsa, dua lagi penunggang motor masing-masing berumur 21 dan 18 tahun cedera di bahagian kepala, tangan dan kaki manakala empat mangsa lain mengalami luka ringan di tangan dan kaki.
 
Mayat mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat manakala penunggang motor yang lain menerima rawatan di hospital yang sama.
 
Kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
 
Pihak berkuasa meminta saksi kejadian atau memiliki rakaman video berkaitan kes tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Fadzilah (016-2895801) bagi membantu siasatan.
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here