Rempuh 5 kenderaan, pasangan kekasih cuba lolos unit MPV dicekup

335

Tindakan pasangan kekasih cuba meloloskan diri daripada dikejar Unit Kereta Peronda (MPV) akhirnya gagal selepas dikepung sepasukan polis di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, Seksyen 9, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian kejar-mengejar melibatkan MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Kajang terhadap Proton Satria sekitar jam 12.30 tengah hari, semalam.

“Awalnya, suspek dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar Kajang Utama. Kejadian bermula apabila suspek enggan memberhentikan kenderaan walaupun diarahkan anggota polis.



“Suspek bertindak memecut laju melalui Jalan Kajang Utama, memasuki Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), seterusnya menghala ke Plaza Tol Sungai Ramal sehingga melanggar palang tol,” katanya.

Menurut Zaid, suspek yang masih tidak mahu menyerahkan diri sekali lagi memandu secara melulu melalui Lebuh Raya SILK dan masuk semula ke Jalan Ikram Uniten.

“Setibanya di Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, Seksyen 9, suspek berjaya ditahan daripada bergerak dengan bantuan beberapa kenderaan peronda polis lain di kawasan berdekatan,” katanya.

Sebanyak lima kenderaan dikesan terlibat dalam kemalangan semasa kejadian kejar-mengejar tersebut berlaku termasuk sebuah kenderaan PDRM.

Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa direkodkan dan hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Sejurus kenderaan suspek berjaya dihentikan, polis mendapati pemandu yang ditahan merupakan wanita tempatan berusia 26 tahun bersama kekasihnya, lelaki tempatan berusia 38 tahun.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamin dan turut dirampas 2.1g syabu. Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu bagi tujuan membantu siasatan,” katanya. 

Tiga kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 186 Kanun Kesekaaan ,Seksyen 12(3) / 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here