Tidak dapat kelulusan MAM, KBS mahu tindakan susulan insiden kematian pelumba drag

508

Perlumbaan Malaysia Drag Bike National ET Record Championship (2023), Road Tour 2023 di Pekan, Pahang yang menyaksikan satu nyawa terkorban amat dikesali Kementerian Belia dan Sukan.

Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran berkata, penganjur kejohanan berkenaan harus bertanggungjawab atas insiden terlibat memandangkan perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).



“KBS sentiasa mempromosikan sukan secara selamat bukan hanya secara fizikal tetapi kita ada kod sukan selamat untuk elak daripada buli, gangguan seksual dan semuanya.

“Aktiviti hujung minggu lalu, kita sudah semak yang ia tidak mendapat kelulusan dan bukan program disokong KBS. Kita harap semua persatuan, kelab sukan menjalankan aktiviti dengan mendapat kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing.

“Mereka juga perlu berdaftar dan mendapat kebenaran daripada PJS (Pesuruhjaya Sukan). Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul apabila menganjurkan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan.

“Selepas ini, pihak kami akan mengadakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM. MAM juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden berkenaan,” kata Nagulendran.

Pada Ahad lalu, Hattem Rashdi, 22 terlibat dalam kemalangan pada hari pertama perlumbaan selepas motosikal dinaikinya terbabas.

Arwah yang mewakili pasukan berpangkalan di Perlis, ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kerana keadaannya makin tenat.

Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad dalam satu laporan media memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

Berdasarkan rekod, kematian melibatkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here