Proton jual 100,000 dalam tempoh lapan bulan, sebulan lebih awal daripada 2022

212

Jualan PROTON melepasi 100,000 unit untuk tahun kelima berturut-turut selepas jumlah jualan melepasi tahap itu pada Ogos, sebulan lebih awal daripada tahun 2022.

Dengan 13,955 unit (domestik + eksport) jualan pada bulan lepas, jualan tahun sehingga kini (YTD) untuk 2023 kini berjumlah 104,602 unit, penambahan 17,121 unit bersamaan kenaikan 19.6% berbanding jumlah dicatatkan untuk lapan bulan pertama tahun lepas.

Jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 74,200 unit, pegangan pasaran PROTON diramalkan pada 18.8% untuk Ogos, dengan angka pegangan pasaran YTD sebanyak 20.8%. Pertumbuhan volum syarikat bagaimanapun kekal mendahului TIV, yang kini dianggarkan sebanyak 12.2% untuk 2023. 



X90, X50, Persona dan Exora terus menerajui segmen masing-masing 

Penjana pertumbuhan jualan untuk kenderaan Proton bagi tahun 2023 ialah barisan model yang menampilkan empat model yang menerajui jualan YTD untuk segmen masing-masing. 

Proton X90 adalah contoh yang baik, dimana model terbaru syarikat mendahului jualan bulanan dan YTD untuk SUV segmen-D dengan jualan 719 unit pada bulan Ogos dan jumlah terkumpul sebanyak 2,944 unit setakat ini, walaupun hanya tiga bulan penuh sejak permulaan jualannya.

Proton X50 yang mencerminkan penguasaannya terus menerajui pasaran SUV segmen B dengan 2,558 unit dijual bulan lepas, menyumbang kepada angka YTD sebanyak 22,750 unit yang bukan sahaja menerajui kelasnya sendiri tetapi juga keseluruhan pasaran SUV. 

Begitu juga, Proton Exora terus menetapkan standard untuk jualan MPV segmen C kerana 409 unit terjual pada bulan Ogos telah menghasilkan jualan YTD sebanyak 3,150 unit.

Sementara itu Proton Persona mencapai jualan lebih 2,000 unit untuk kali keenam bagi tahun 2023 dengan 2,028 unit diserahkan pada bulan lepas dan walaupun ia tidak mendahului jualan dalam segmennya, angka YTDnya sebanyak 16,561 unit adalah 72% lebih tinggi daripada tahun 2022 dan masih berada di tangga teratas kategori sedan segmen B.

Seperti biasa, Proton Saga adalah model Proton paling laris pada bulan Ogos, mencapai angka bulanan tertinggi bagi tahun 2023 dengan 6,585 unit dijual dan ini meletakkannya di tempat kedua jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan ketiga berturut-turut. Bagi lapan bulan pertama, sebanyak 45,836 unit telah diserahkan, iaitu peningkatan sebanyak 34.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.

Proton Iriz juga mengalami peningkatan jualan. 654 unit dijual pada bulan Ogos meletakkannya di tempat keempat dalam segmennya tetapi dengan 5,362 unit diserahkan pada tahun ini, jualan YTD adalah 50.3% mendahului tahun sebelumnya.

Akhirnya, Proton X70 mengakhiri bulan Ogos dengan 1,002 unit dijual, melonjakkan jualan YTDnya kepada 7,999 unit. 

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, industri automotif Malaysia mencatatkan satu lagi rekod baharu bagi 2023 akibat PROTON dan jenama lain terus bersaing untuk mendapatkan jualan.

“Bagi PROTON, pertumbuhan jualan kami boleh dikaitkan kepada usaha syarikat menumpukan perhatian untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi serta pengalaman premium yang diberikan oleh 154 pengedar 3S/4S dalam rangkaian kami memberi kesan positif kepada pelanggan.

“Memandang ke hadapan, usaha ke arah produk dan perkhidmatan yang lebih baik ini akan diteruskan dan dirangsang oleh pengumuman baru-baru ini iaitu Proton Test Labs menerima akreditasi ISO 17025 serta kemasukan syarikat ke dalam ruang EV dengan smart Malaysia,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here