Anak cedera dihempap rim, ibu bapa tuntut ganti rugi RM100k

2019

Kepala cedera dihempap rim basikal ketika berada dalam bilik darjah, kanak-kanak berusia empat tahun itu juga turut diberhentikan sekolah.

Tidak berpuas hati dengan situasi itu, ibu bapa kanak-kanak dikenali sebagai Z mengemukakan surat tuntutan saman menuntut permohonan maaf dan ganti rugi RM100,000 terhadap sebuah sekolah antarabangsa di Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur. 

Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff bersama-sama Nur Fatin Syakinah Kamarudin dan Nurul Tasnim Abd Rahman dari Tetuan Hariz Syakinah & Co. yang mewakili ibu bapa Z berkata pihaknya menuntut permohonan maaf pihak sekolah terhadap kanak-kanak itu.



“Setakat ini ada permohonan maaf tetapi kepada ibu mangsa sedangkan ia patut ditujukan kepada Z.

“Aspek keselamatan perlu diberi penekanan dan kerana itu anak guam mengarahkan kami meneruskan tindakan di mahkamah,” katanya.

Muhammad Hariz berkata insiden itu dipercayai berlaku pada 2 Ogos lalu dan ibu bapa mangsa membuat laporan pada 11 dan 12 September lalu.

Menurutnya, anak guam telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendakwa kejadian berlaku disebabkan kecuaian pihak sekolah menggantung rim basikal sebagai hiasan di siling bilik darjah.

“Sekolah memaklumkan tiada kanak-kanak cedera tetapi apa yang berlaku kepada Z adalah sebaliknya.

“Sekolah meletakkan pelbagai dakwaan yang tidak tepat kepada anak guam kami dengan menyatakan Z menolak kanak-kanak lain (murid lain) di pintu kaca sekolah.

“Hasil pertemuan dengan pihak sekolah sebelum ini, anak guam kami diberitahu menjadi satu budaya, norma dan kebiasaan di sekolah berkenaan untuk menggantung rim basikal itu.

“Apa yang menjadi kebimbangan ibu bapa mangsa adalah keselamatan anaknya di sekolah tetapi jawapan diberikan amat mendukacitakan anak guam kami.

“Itu yang menyebabkan pihak ibu bapa mangsa membuat laporan kerana ada misrepresentasi dan surat tuntutan (LOD) sudah dihantar kepada pihak sekolah namun tiada maklum balas diberikan melainkan penafian dan minta kami berurusan dengan peguam pihak sekolah.

“Sebaliknya, Z ditamatkan persekolahan bermula 26 Ogos lalu tanpa justifikasi kukuh dalam surat penamatan tersebut dan ia beri kesan mendalam kepada kanak kanak tersebut sehingga hari ini,” katanya.

Muhammad Hariz berkata, Z masih mendapatkan rawatan di hospital dan pihaknya sudah mendapatkan laporan perubatan.

Menurutnya bapa kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun dan seorang usahawan berharap pihak polis menjalankan siasatan supaya tindakan perundangan diambil terhadap sekolah kerana cuai.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Kertas siasatan juga dibuka di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here