Tiada lesen, kesalahan tertinggi libat kenderaan komersial

424

Kesalahan melibatkan tiada lesen memandu menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan melibatkan kenderaan komersial (Perdagangan) di negeri tersebut sejak Januari sehingga September lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata bagi kesalahan berkenaan, sebanyak 4,711 kes direkodkan daripada jumlah keseluruhan saman sebanyak 15,639 dalam tempoh tersebut.



Menurutnya, kesalahan kedua tertinggi pula melibatkan pelesenan kenderaan iaitu sebanyak 3,785 diikuti kesalahan teknikal kenderaan (2,882); lebih muatan (2,160) dan lain-lain kesalahan (1,274) dan kesalahan utama (827).

“Pemandu kenderaan mestilah mempunyai lesen memandu yang sah tidak kira warganegara Malaysia ataupun bukan warganegara. Sekiranya kami dapati pemandu tidak mempunyai lesen yang sah, saman akan dikeluarkan dan tindakan penyitaan kenderaan akan dibuat. 

“Dalam keadaan itu juga JPJ akan melaksanakan siasatan pengauditan ke atas kenderaan yang didapati melakukan kesalahan berulang kali.

“Sekiranya didapati mereka ini melakukan kesalahan dengan banyak dan pengauditan telah dilaksanakan, mereka berisiko untuk digantung perlesenanan dan digantung lesen perkhidmatan mereka di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

JPJ Negeri Sembilan telah memeriksa sebanyak 33,156 kenderaan komersial sepanjang  Januari hingga September lalu dan sejumlah 9,607 buah daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, operasi berkenaan diadakan bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu serta juga pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta APAD 2010.

Menurutnya, setakat ini juga sebanyak 57 buah kenderaan komersial disita atas kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) dan juga insurans.

Tambahnya, menerusi laporan pemeriksaan dan audit keselamatan (JISA) bagi kenderaan komersial ini, sebanyak enam buah syarikat yang masih digantung lesen pengendali dari tahun 2022 disebabkan kesalahan berulang yang dilakukan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here