Utama Berita Automotif Menteri : Import kereta CBU kapasiti enjin kecil jejas industri tempatan

Menteri : Import kereta CBU kapasiti enjin kecil jejas industri tempatan

138
Sebarang langkah membenarkan kemasukan kereta import (CBU) berkapasiti enjin kecil akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran selain menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.
 
Liew Chin Tong
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ini akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.
“Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.
 
“Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, pada Selasa.
 
Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan bersesaran rendah seperti 660cc.
 
Mengulas selanjutnya, Liew berkata, tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.
 
“Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya.


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here