
Syarikat pengeluar komponen automotif Autoliv dengan kerjasama Tensor memperlihatkan konsep stereng yang boleh dilipat dan disimpan untuk kegunaan kenderaan swapandu.
Apabila mod pemanduan autonomi Tahap 4 diaktifkan, roda stereng akan dilipat mengikut sudut yang sama dengan kolum stereng.
Ia kemudian akan disimpan di dalam papan pemuka untuk menjadikan ruang kokpit yang lebih luas dan selesa.
Roda stereng itu akan muncul semula sekiranya mod pemanduan swapandu Tahap 4 dimatikan.
Untuk keselamatan, Autoliv dan Tensor membangunkan sistem dua beg udara yang berbeza untuk kedua-dua pemanduan secara manual atau autonomi.
Dalam mod pemanduan yang biasa, beg udara pada roda stereng akan berfungsi seperti biasa, namun dalam mod autonomi ia akan menggunakan beg udara yang dipasang pada papan pemuka.
Roda stereng yang boleh dilipat ini akan digunakan pada Robocar yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Robocar dilapor akan mempunyai bateri sebesar 112 kWh, dan kelengkapan penderia termaju yang terdiri daripada 37 kamera, 5 LIDAR, 11 radar, 22 mikrofon, 11 penderia ultrabunyi, 3 unit pengukuran inersia, 16 pengesan pelanggaran, 8 pengesan aras air, sistem pemantauan tekanan tayar dan pengesan asap.

