
Mitsubishi bakal menghantar sejumlah kereta menarik di Tokyo Auto Salon 2026, salah satu pameran kenderaan ubah suai terbesar dunia yang berlangsung dari 9 hingga 11 Januari 2026 di Makuhari Messe, Chiba, Jepun.
Sebanyak 11 buah kenderaan akan dipamerkan, dengan fokus diberikan kepada versi khas Delica D:5 dan Delica Mini selari dengan tema pameran, Delica Festival — unleash your playful spirit.
Melalui tema ini, Mitsubishi menampilkan pendekatan lebih ekspresif yang menonjolkan kekuatan, fleksibiliti serta karakter ceria siri Delica.
Turut dipamerkan Triton rali yang menjuarai Asia Cross Country Rally 2025 (AXCR 2025) serta kenderaan sokongan Delica D:5 yang digunakan sepanjang perlumbaan.
Delica D:5 Ultimate Gear direka untuk menonjolkan keupayaan sebenar Delica dalam persekitaran mencabar.
Ubah suai melibatkan ketinggian dan perlindungan badan, sambil mengekalkan imej MPV lasak yang sinonim dengan model ini.
Antara ciri utama termasuk:
- Ketinggian badan dinaikkan 30 mm
- Pelindung bampar dan papan sisi untuk kegunaan lasak
- Salutan badan bertekstur kasar bagi mengurangkan kesan calar
- Penampilan off-road yang lebih agresif dan praktikal
Dibuat khas untuk Tokyo Auto Salon 2026, Delica Mini Ultimate Gear memperlihatkan bagaimana sebuah kei-car boleh disuntik dengan karakter lasak tanpa menjejaskan identiti asalnya.
Model ini tampil dengan:
- Kemasan dua tona eksklusif
- Salutan badan bertekstur rugged
- Rak bumbung, pelindung gril hadapan dan tangga belakang
- Suspensi dinaikkan 20 mm untuk keupayaan lebih baik di laluan tidak berturap
Delica D:5 Active Camper
Dibangunkan melalui kerjasama dengan jenama LOGOS, model ini menampilkan pendekatan lebih premium untuk aktiviti luar.
Kemasan kayu white birch dipadankan dengan kabin rona coklat yang menenangkan, sambil mengekalkan keupayaan 4WD dan fleksibiliti dalaman Delica D:5.
Ia direka sebagai kenderaan yang sesuai digunakan dari pemanduan harian sehingga ke pengembaraan hujung minggu.
Untuk Delica Mini, versi Active Camper hadir dengan:
- Bumbung pop-up
- Bar pelindung hadapan dan mud flap
- Kit peninggian badan 25 mm
Gabungan ini menjadikan Delica Mini lebih praktikal untuk aktiviti luar bersama rakan-rakan.
Sentuhan Retro dan Eksklusif Tokyo Auto Salon
Delica Mini x “DALI” with DAMD
Model ini menggunakan aksesori daripada DALI, jenama baharu oleh DAMD Inc., dan menampilkan elemen rekaan yang memberi penghormatan kepada Pajero, khususnya pada jeriji hadapan dan lampu.
Walaupun membawa sentuhan retro, profil ikonik Mitsubishi dikekalkan, menghasilkan gabungan gaya comel dan lasak untuk pelanggan yang inginkan sesuatu yang unik.
Wild Adventure Style
Bagi versi Wild Adventure:
- Delica D:5 dilengkapi rak bumbung rata baharu, pelindung lumpur besar dengan tali gaya rali serta pelindung bawah belakang keluli tahan karat.
- Delica Mini pula menampilkan grafik samaran, rak bumbung khas, pelindung lumpur serta aksesori luaran warna eksklusif Tokyo Auto Salon 2026.
Delica Mini TOMICA 55th Anniversary Edition
Model khas ini dihasilkan sempena ulang tahun ke-55 TOMICA menerusi projek kerjasam pengeluar automotif.
Ia menampilkan grafik berinspirasikan rali dengan rona merah magma dari bahagian hadapan ke sisi kenderaan.
Logo ulang tahun ke-55 dipaparkan sebagai plat rali, manakala logo TOMICA digayakan seperti pelekat penaja ala rali sebenar dan bertenaga.
Jentera Rali AXCR 2025
Berasaskan Mitsubishi Triton, jentera ini menerima:
- Pengurangan berat
- Talaan suspensi khusus
- Penambahbaikan prestasi dan ketahanan enjin
Dipandu oleh Chayapon Yotha dan Peerapong Sombutwong, Triton ini menamatkan perlumbaan selama lapan hari merentasi kira-kira 2,300 km, sekali gus mengembalikan kejuaraan keseluruhan AXCR buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun.
Delica D:5 AXCR 2025 Support Car
Model ini digunakan sebagai kenderaan sokongan rasmi sepanjang AXCR 2025.
Dipandu oleh Pengarah Pasukan Hiroshi Masuoka, van ini turut menjelajah laluan perlumbaan, kawasan servis dan medan lasak di sekitar trek.






































