UMW Group jual 42,315 kenderaan bulan November, Perodua penyumbang terbesar

160

UMW Group menjual 42,315 unit kenderaan pada November 2023, naik lebih lapan peratus berbanding 39,034 unit yang direkodkan pada November 2022.

Peningkatan jualan disumbangkan oleh UMW Toyota Motor (UMW Toyota) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua yang meneruskan penghantaran tempahan tertunggak mereka.



Bagi 11 bulan pertama, jualan automotif kumpulan itu meningkat sebanyak 16 peratus kepada 396,820 unit daripada 341,390 unit yang didaftarkan bagi tempoh sama pada 2022.

“UMW Toyota mencatatkan penghantaran sebanyak 10,263 unit pada November 2023, menghampiri jumlah 10,442 unit yang dihantar pada November 2022.

“Pada tahun ini sehingga November, ia merekodkan 97,705 unit, mencatatkan pertumbuhan lapan peratus berbanding 90,595 unit yang dicatatkan bagi tempoh yang sama 2022,” kata kumpulan itu.​

Perodua pula merekodkan jualan 32,052 unit pada November 2023, naik 12 peratus berbanding 28,592 unit yang dihantar pada November 2022, terutamanya disebabkan oleh rantaian bekalan yang bertambah baik dan peningkatan dari segi pengeluaran dan logistik.

Pada tahun ini setakat November, kumpulan itu berkata jualan Perodua melonjak 299,115 unit, naik 19 peratus daripada 250,795 unit yang dihantar dalam tempoh yang sama pada 2022, dengan model terlarisnya ialah Bezza, diikuti Axia dan Myvi.

“Kumpulan UMW mendapat galakan daripada jualan kukuh yang berterusan yang dicatatkan oleh UMW Toyota dan Perodua pada November 2023.

“Jualan kukuh yang dicapai ini didorong oleh pengenalan model-model baharu yang kompetitif dan menarik serta promosi jualan yang menarik,” tambahnya.​

Bagi mengukuhkan lagi buku tempahannya, kumpulan itu berkata UMWT menawarkan promosi istimewa untuk pembelian model Toyota terpilih melalui kempen pada bulan Disember iaitu ‘Drive into the New Year with Toyota’.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here