Anthony Loke: Kertas cadangan Ocean Infinity carian semula MH370 dibawa ke Kabinet Ogos ini

43

Kertas cadangan syarikat robotik marin Ocean Infinity bagi memulakan semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing 10 tahun lalu, akan dibawa untuk pertimbangan Kabinet Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa berikutan kertas cadangan terperinci diperlukan daripada syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat itu mengenai perkara berkenaan sebelum dibawa ke Kabinet.

Anthony Loke

“Belum lagi (kelulusan) sebab kertas Kabinet belum naik, jadi perlu ada masa sebab kita perlu ada kertas cadangan terperinci daripada mereka (Ocean Infinity), baru kita boleh sediakan kertas Kabinet, Ogos naik (bawa) ke Kabinet,” katanya.



Anthony Loke sebelum ini dilaporkan berkata, syarikat berkenaan telah menghantar kertas cadangan bersama dengan bukti dan maklumat terbaru untuk penelitian pihak berkaitan di bawah kementerian itu bagi memulakan pencarian pesawat MH370.

Baru-baru ini Association For Families of the Passengers and Crew on board MH370 dalam hantaran melalui laman Facebook mendedahkan Ocean Infinity telah menghantar kertas cadangan bagi menghidupkan semula pencarian itu kepada Loke.

Syarikat itu antara lain mencadangkan supaya proses pencarian berkenaan dilakukan atas dasar No Find No Fee (tak jumpa tiada bayaran).

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang membawa 239 orang terdiri daripada 227 penumpang dan 12 kru, dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here