Proton buka tempahan X70 (2025), tawar sambungan Apple CarPlay dan Android Auto

233

Proton membuka tempahan X70 (2025) dengan bayaran deposit sebanyak RM500. 

Pelanggan yang berminat boleh menghubungi pembantu jualan atau mengunjungi bilik pameran Proton berhampiran. 



Versi facelift itu menerima pembaharuan pada bahagian luaran merangkumi rekaan gril Infinite Weave dan elemen busur ethereal, lampu utama LED lebih tirus, rekaan semula bampar dan rim aloi 19-inci baharu.

Bampar belakang kini menerima reflektor melintang dan outlet ekzos palsu. Bagaimanapun, lampu belakang masih mengekalkan rekaan model sebelumnya. 

Masuk ke kabin, X70 menerima rekaan stereng tiga jejari terkini seperti mana X50 dan S70 bersama panel hiasan papan pemuka baharu. Ia menggabungkan kemasan hitam berkilat dengan pencahayaan ambien pelbagai warna (bertukar mengikut muzik).

Proton X70 kini menerima skrin sentuh hiburan terapung bersaiz 12.3-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay di samping tempat duduk kulit Nappa berwarna  kelabu. 

SUV tersebut  kini dilengkapi dengan sistem ADAS tahap 2 yang dipertingkatkan. Ciri penting lain adalah unit aplikasi PROTON Link yang menerima fungsi tambahan untuk menghidupkan enjin dan menyejukkan kenderaan jarak jauh.

Tiada aspek mekanikal didedahkan. Kebarangkalian X70 masih mengekalkan enjin 1.5 liter turbo TGDi 3-silinder yang menghasilkan kuasa 177PS dan tork 255Nm bersama transmisi dua klac 7-kelajuan.

Proton menyatakan akan menawarkan harga dan pakej istimewa kepada pelanggan awal. Sebagai rujukan, model X70 sedia ada dijual pada harga RM98,800 bagi varian Standard, RM110,800 (Executive), RM116,800 (Executive AWD), RM123,800 (Premium) dan   RM126,800 (Premium X).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here